MIRI: Pustaka Negeri Sarawak (PNS) Miri bakal melancarkan Sudut Bacaan Komuniti (SBK) untuk kawasan utara iaitu di Long Latie, Apoh di sini pada 24 Oktober ini.

Dalam satu kenyataan semalam, PNS Miri berhasrat menambah SBK di wilayah utara yang memerlukan sokongan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemimpin setempat bagi mewujudkan lebih banyak kemudahan untuk masyarakat serta komuniti.

“Pustaka berjaya mewujudkan sudut bacaan komuniti di kawasan Baram dan melangkah terus ke bahagian lain di Sarawak.

“Diharapkan kerjasama dan sokongan daripada pemimpin masyarakat berterusan bagi mewujudkan lebih banyak sudut bacaan untuk rakyat di samping memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat dan komuniti dalam mendapatkan pendidikan serta maklumat.

“Ia merupakan satu titik permulaan menggembirakan apabila mengetahui bahawa pemimpin bersedia memberi sokongan penuh dalam merealisasikan inisiatif agar menjadi kenyataan,” katanya.

Projek itu mempromosikan dan membangunkan budaya membaca yang sekali gus meningkatkan tahap literasi kalangan semua lapisan masyarakat.

“Objektif utamanya adalah untuk mempromosikan budaya membaca, melahirkan komuniti membaca bersama-sama ahli keluarga mereka dan meningkatkan pengetahuan serta meluaskan pemikiran mereka melalui pembacaan,” jelasnya.

Adun Telang Usan, Dennis Ngau dijangka hadir untuk menyempurnakan majlis pelancaran SBK di Long Latie.