ASAJAYA: Kerajaan Sarawak serius dalam melaksanakan pembangunan untuk menghubungkan keseluruhan kawasan di Sarawak, kata Datuk Julaihi Narawi.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu berkata, untuk merealisasikan perkara tersebut langkah awal yang diambil adalah dengan menyediakan perkhidmatan feri.

“Jika kita lihat, secara keseluruhan feri adalah langkah sementara untuk menghubungkan mana-mana tempat yang memerlukan perhubungan.

“Selain itu, di seluruh laluan jalan pesisir juga kita memerlukan feri sebagai kemudahan sementara sebelum siapnya jambatan yang dicadangkan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.

Julaihi berkata demikian ketika berucap ketika mengadakan lawatan di Tapak Feri Tambirat-Beliong bersama-sama dengan Adun Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, di sini semalam.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga memberikan subsidi untuk 12 pangkalan feri di seluruh negeri ini yang melibatkan kos kira-kira RM78 juta setahun.

“Daripada jumlah tersebut, tujuh pangkalan feri berada di kawasan pesisir dan Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan subsidi RM66 juta setahun,” ujarnya.

Sementara itu, beliau mendedahkan pembinaan Feri Beliong yang telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak bakal menghubungkan Kampung Beliong dan Kampung Semilang, Kampung Beradek dengan kawasan Asajaya.

“Perkhidmatan feri yang akan disediakan di Beliong mampu memuatkan 24 kenderaan (kereta) dan tambang RM1 sahaja dikenakan selepas subsidi yang diberikan oleh Kerajaan.

“Saya berharap dengan pembinaan feri ini ia akan dapat menghubungkan keseluruhan kampung di kawasan pesisir ini,” tegasnya.

Untuk rekod, kos pembinaan dan operasi Feri Beliong dalam tempoh setahun RM13 juta.