KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka mengumumkan berita gembira kepada rakyat di negeri ini dalam masa dua minggu ini.

“Tidak lama lagi akan ada sesuatu yang ada kena mengena dengan hidrogen, dalam masa dua minggu ini.

“Satu berita yang kita jangka akan membawa kegembiraan kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Stesen Pengisian Bersepadu Darul Hana di sini, semalam.

Sementara itu, Abang Johari berkata beliau sedia menggubal undang-undang baharu dalam usaha menuntut kredit karbon sebagai komoditi perdagangan.

“Kita akan menjadi negeri di dunia ini yang memberi kepentingan kepada kemampanan alam sekitar dan kita boleh menuntut karbon kredit.

“Ini adalah kehendak dunia, biarlah Sarawak memainkan peranan penting dalam agenda pembangunan dunia pada hari ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan Kerajaan Sarawak telah meminta Kerajaan Persekutuan untuk tidak mencukaikan kenderaan yang menggunakan bahan bakar hidrogen kerana ia merupakan perkara baharu.