KOTA SAMARAHAN: Unimas melancarkan Pelan Strategik 2021-2025 bertemakan inklusif, global dan mampan yang fokus kepada lima strategi utama, di sini, semalam.

Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, lima strategi itu menggariskan kepada ketersediaan graduan masa hadapan, kecemerlangan penyelidikan, kecemerlangan bakat, kesohoran global dan kelestarian kewangan.

“Bagi kesemua lima fokus tersebut, ia disokong 15 komitmen dan 52 petunjuk prestasi utama (KPI).

“Proses menyelaras, memantau dan menilai petunjuk prestasi utama dilaksanakan melalui Sistem Penyampaian dan Pemantauan Prestasi (SPeeD) yang diselaraskan oleh Pusat Perancangan Strategik, Pengurusan Kualiti dan Risiko (SQRC),” ujarnya pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik 2021- 2025 Unimas dan Inisiatif Kelestarian Universiti.

TAHNIAH… Dr Mohamad Kadim bersama-sama Ahli Lembaga Pengarah Unimas.

Tambahnya, idea dan inspirasi penghasilan Pelan Strategik 2021- 2025 Unimas bersandarkan 13 dokumen penting yang menjadi rujukan utama penghasilan pelan strategik itu.

“Penjajaran turut dilakukan selari agenda nasional dan antarabangsa berdasarkan Pelan Induk Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015- 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Matlamat Pembangunan Lestari.

“Penjajaran ini wajar dilaksanakan bagi memastikan setiap komitmen dapat ditanda aras dan dinilai mengikut rangka kerja yang diakui standard,” katanya.

Tambah beliau, ketika menghadapi pandemik Covid-19 ini, landskap pendidikan tinggi juga semakin mencabar.

“Ia akan memberikan cabaran dalam menyampaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran kerana pelajar tidak berada di kampus.

“Oleh itu, perkara ini yang kita tekankan dalam Pelan Strategik 2021- 2025 untuk menguji sejauh mana pelajar itu bersedia menghadapi sebarang cabaran dan kemungkinan pada masa hadapan serta perubahan landskap dengan cepat,”jelas beliau.

Beliau berharap pelan itu dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Bagi warga kampus, diharapkan agar mereka sentiasa komited serta bermotivasi menambah baik kualiti sistem penyampaian perkhidmatan melalui inisiatif dan sasaran yang ditetapkan dalam pelan strategik ini.

“Ia memberi impak yang signifikan kepada warga kampus termasuk pemegang taruh,”katanya.