PADAWAN: Enam lelaki tempatan ditahan kerana terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian iaitu 918 Kiss, Kiss Kaya, Mega 888 dan Pussy 888.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata kesemua suspek suspek berusia 21 hingga 24 tahun itu merupakan pekerja pusat panggilan perjudian dalam talian berkenaan, yang menggunakan sebuah kondominium di kawasan Kota Sentosa, Jalan Sungai Tapang.

Katanya mereka ditangkap dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siastaan Jenayah Daerah Padawan sekitar jam 4.45 petang semalam.

“Hasil serbuan mendapati seunit kondominium yang disewa telah dijadikan sebagai pusat panggilan sindiket terbabit yang dipercayai telah beroperasi lebih kurang tiga bulan.

“Mereka menjalankan kegiatan perjudian 918 Kiss, Kiss Kaya, Mega 888 dan Pussy 888 serta waktu beroperasi adalah 24 jam.

“Sindiket ini mengaut keuntungan kasar mencecah RM 7,000 sehari dengan setiap pekerja diberikan gaji sebanyak RM1500 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidil berkata pasukan serbuan turut merampas barang-barang yang digunakan dalam kegiatan perjudian berkenaan iaitu komputer, telefon pintar dan banyak lagi.

Katanya semua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Suspek yang ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat panggilan perjudian dalam talian di Padawan, semalam.