KUCHING: TV Sarawak memiliki pengacara yang pakar dalam pelbagai bidang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Sarawak (SMG) Suhaimi Sulaiman.

Menurutnya, TVS merupakan satu-satunya stesen televisyen yang mempunyai empat pemegang Doktor Falsafah (PhD) sebagai pengacara.

“Selain itu, sebahagian besar daripada personaliti TVS juga diminta keluar dan turun padang untuk membuat laporan berita.

“Ini bermakna, mereka bukan hanya membaca berita tetapi perlu melaksanakan tugas sebagai wartawan,” katanya ketika ditemui di Pejabat TVS, baru-baru ini.

Tambahnya, penubuhan stesen televisyen dalam tempoh tiga bulan merupakan satu cabaran besar dunia penyiaran.

“Apabila saya tiba di sini pada 1 Ogos lalu, saya melihat satu perancangan hebat sudah disediakan.

“Jika mereka tidak merancang dengan baik, sudah pasti penubuhan TV Sarawak tidak akan berlaku,” ujarnya.

Suhaimi menjelaskan, stesen televisyen itu dapat direalisasikan kerana kakitangan yang berdisiplin tinggi dan mampu merancang serta melaksanakan kerja dengan baik.

“Kami sangat bertuah kerana mempunyai kumpulan yang terlibat dengan TVS di platform dalam talian sebelum ini.

“Mereka sudah biasa melakukan kerja dalam talian dan mempunyai pengalaman dan dapat dimanfaatkan untuk industri televisyen kini,” jelasnya.

Beliau memberitahu, walaupun ketika ini TVS masih dalam fasa percubaan tetapi ia tidak boleh dilihat sebagai satu percubaan semata-mata.

“Kami mahu melihat TVS seperti sedang beroperasi sepenuhnya dengan kandungan yang lengkap untuk sebuah stesen televisyen.

“Kami tidak mahu penonton melihat program yang kami siarkan tidak berkualiti atau tidak bagus kerana apabila perkara itu berlaku, mereka tidak akan menonton apa yang kami siarkan.

“Cabaran besar ialah memastikan supaya program yang baik dan berkualiti disiarkan di TVS,” jelasnya.

p/s: Jom langgan akhbar Suara Sarawak ( Kuching dan Sibu sahaja )  di