PADA saat keadaan mula beransur pulih, kita tiba-tiba disergah dengan kehadiran gelombang Covid-19 ketiga.

Mungkin ia tidak memberikan kesan kepada sesetengah pihak, namun ombak lebih besar bagi golongan pertengahan atau bawahan yang masih lagi terkesan dengan dua gelombang sebelum ini.

Bayangkan, mereka yang diberhentikan kerja susulan PKP kini mula menceburi bidang lain bahkan terpaksa merangkak dari bawah sekali lagi.

Pastinya akan menerima tekanan yang amat besar daripada segi mental dan fizikal.

Oleh itu, penting bagi kita mengambil langkah berjaga-jaga dari saat ini dalam setiap aspek bagi memastikan kelangsungan hidup pada masa hadapan.

Dalam hal sebegini, tidak dinafikan bahawa aspek paling penting dan utama adalah cara kita mengendalikan pengurusan kewangan.

Hal ini kerana penularan pandemik Covid-19 memberi impak terutamanya ekonomi kepada pelbagai entiti perniagaan yang secara tidak langsung turut mempengaruhi kita.

Berdasarkan kaji selidik peringkat pertama Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan pada bulan Mei lalu, sebanyak 46.6 peratus daripada 168,182 responden kemungkinan kehilangan pekerjaan sepanjang pandemik berikutan pelaksanaan PKP.

Apabila perkara sebegini menjadi topik hangat, bukan bermakna kita ingin mempertikai usaha kerajaan menguatkuasakan PKP tetapi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dalam membuat penilaian mengenai keadaan yang tidak menentu sekarang.

Menurut Forum Ekonomi Dunia, entiti perniagaan global dijangka terpaksa ditutup, namun mampu bertahan jika melakukan penstrukturan serta adaptasi melalui penggunaan sistem automasi, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memastikan operasi perniagaan bergerak seperti biasa tanpa melibatkan pertemuan secara bersemuka.

Sejak banyak negara mengumumkan langkah drastik, misalnya perintah berkurung atau PKP seperti yang dilaksanakan di Malaysia, makin banyak syarikat bahkan konglomerat besar mula giat melakukan urusan secara maya atau dalam talian.

Jadi, perubahan besar merupakan satu kemestian jika ingin menempuhi tempoh pandemik ini yang masih belum jelas hujung pangkalnya.

Kita sebagai rakyat perlu mula mengubah gaya hidup lebih-lebih lagi dalam cara kita menguruskan kewangan.

Pihak kerajaan mungkin tidak dapat berterusan memberikan sokongan kewangan setiap masa sepanjang pandemik ini.

Jika kita melihat daripada perspektif mikro, bujang atau berkeluarga, rakyat perlu bijak menguruskan kewangan dan setiap perbelanjaan dilakukan secara berhemah bagi mengelakkan kesempitan pada hari-hari seterusnya.

Ilmu pengurusan kewangan individu wajar diterapkan, misalnya menyediakan senarai belanjawan rumah mengikut tahap keperluan.

Dengan cara ini, kita mampu mengehadkan pembaziran dengan membeli perkara yang perlu sahaja mengikut kepentingan.

Bagi mereka yang layak mendapat pengecualian atau penangguhan pembayaran pembiayaan melalui pakej moratorium dan pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), wang yang disimpan itu perlu digunakan dengan cara berjimat membeli barang keperluan, bukannya kehendak diri untuk bermewah semata-mata.

Manakala wang simpanan jangan sekali-kali dilupakan kerana kita sentiasa bersiap sedia – bak pepatah sediakan payung sebelum hujan.

Selepas melangsaikan perbelanjaan asas, wang lebihan perlu disimpan ataupun dilaburkan untuk mendapatkan pulangan bagi tabungan masa hadapan.

Tuntasnya, setiap cabaran baharu sememangnya memerlukan kita untuk berfikir secara drastik dan merancang meningkatkan keupayaan diri bagi memudahkan kita membuat inovasi dan adaptasi.

Kerana apa gunanya akal yang dianugerahkan kepada manusia jika disia-siakan begitu sahaja.