KUALA LUMPUR: Kerajaan serius dalam usaha meningkatkan dana untuk industri kreatif di samping mengenal pasti pendekatan agar pendanaan yang diperuntukkan kepada sektor berkenaan dapat digunakan sepenuhnya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Kementerian Kewangan juga sedang meneliti kaedah bagi dana yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh sektor ini seperti peruntukan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

KKMM mempunyai beberapa perancangan untuk industri ini termasuk penghasilan lebih banyak filem patriotik serta program ‘Road to Oscar’ di bawah bidang kuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), katanya pada Forum Industri Kreatif 2021: Tumpuan kepada Seni dan Budaya di sini, hari ini.

“Bagi muzik, kita kini sedang merangka draf pertama Akta Perbadanan Muzik, jadi perlu juga ada ‘Road to Grammy’,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata kerajaan akan mengambil langkah segera untuk menyokong sektor ini termasuk industri kreatif yang turut terjejas ekoran pandemik COVID-19 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Beliau berkata ia termasuk peruntukan sebanyak RM225 juta bagi seni, budaya, hiburan dan acara industri.

“MyCreative, yang juga merangkumi Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya (Cendana), telah diberikan mandat untuk melaksanakan dan menyalurkan dana ini menerusi pelbagai skim dan inisiatif.

“Ini termasuk Geran Acara Langsung, Geran Pemasaran Digital, Skim Pelaburan Padanan, Pinjaman Pantas, Pinjaman Mudah dengan Kadar Faedah Rendah dan Program Halaju Digital, meliputi latihan pemasaran dan promosi digital, bantuan kesalinghubungan dan khidmat nasihat,” katanya.

Beliau berkata selain itu proses permohonan dan penyaluran dana sedang dijalankan dengan 1,748 permohonan bernilai RM73.4 juta bagi pelbagai geran kini dipertimbangkan oleh MyCreative.

“Cendana telah meluluskan 234 permohonan bernilai RM3.5 juta, dan 114 permohonan bernilai RM9.6 juta telah diluluskan bagi Pinjaman Pantas, Geran Pemasaran Digital dan latihan Halaju Digital di bawah PENJANA untuk industri kreatif,” katanya.

Beliau berkata KKMM juga sedang meminda Akta Finas dan mengenal pasti keperluan untuk mewujudkan badan perundangan bagi membantu bakat dalam industri kreatif seperti berkaitan dengan harta intelek.

“Kita perlu melihat gambaran yang lebih luas, berbincang secara berkala dengan semua pihak,” katanya.