KUCHING: Kompleks Unifor akan menjadi lambang keharmonian agama dan perpaduan masyarakat di Sarawak. Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah mengesyorkan kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk membina bangunan khas Unifor dan kepimpinan GPS yang lain turut menyokong pembinaan kompleks bernilai RM70 juta tersebut.

“Kita tidak pernah bermimpi mendapat RM3 billion daripada Petronas. Oleh kerana Tuhan baik kepada kita. Kita berdoa, kita lawan dan kita menang atas hak kita mengenakan cukai jualan negeri (SST).

“Sebab itu, RM70 juta untuk Kompleks Unifor bukan satu masalah, ia merupakan sebahagian kecil daripada jumlah bayaran Petronas.

“Dalam semua agama, jika anda melakukan amal, Tuhan akan memperakui perkara itu,’’ katanya pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Unifor di Jalan Ong Tian Swee semalam.

Abang Johari memberi contoh, beliau telah menerima permohonan daripada Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Datuk Liwan Lagang untuk membina Masjid di Belaga untuk komuniti Islam.

Tambah beliau, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan turut meluluskan peruntukan untuk sebuah gereja di Lawas.

“Ini adalah satu keindahan yang kita ada di Sarawak dan kita harus pertahankan keindahan ini,” katanya.

“Di negeri kita, saya menyuarakan agar agama-agama lain selain Islam harus dijaga kebajikannya menerusi Unifor.

“Saya percaya menerusi bangunan Unifor ini nanti, ia menjadi wadah kepada ketua-ketua agama berkumpul dan berbincang mengenai agama serta cara hidup kita,” katanya.

Dalam pada itu, kata Abang Johari, pemimpin Kerajaan Persekutuan juga berminat dengan gerak kerja Unifor dan telah mengadakan pertemuan dengan Uggah selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas Unifor.

Tambahnya, mereka juga berkenan untuk mempersembahkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai bagaimana Sarawak mengurus masyarakat pelbagai kaum.

Lantaran itu, Kata Abang Johari, Kompleks Unifor akan menjadi lambang kepada keharmonian agama dan berpegang teguh kepada agama dan menjadi masyarakat berdisiplin.

“Apabila kita berdisiplin, ini bermakna kita mempunyai struktur dalam apa yang hendak disampaikan kepada negeri.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Unifor kerana mempunyai kompleks sendiri yang akan menjadi simbol kepada perpaduan kita dan kita berdoa kepada Tuhan agar menjaga kita dan memberi kita kesihatan dan pemikiran waras dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan,” ujarnya.