BINTANGOR: Keunikan rasa dan khasiatnya berbanding nanas jenis lain menjadi faktor nanas MD2 mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Komoditi itu lazimnya untuk tujuan eksport ke luar negara bagaimanapun, ketika ini belum mampu dilakukan berikutan permintaan tinggi dalam negara.

Pengerusi Koperasi Agrobiz Jaya Berhad, Nyandang Keli berkata, potensi cerah nanas jenis itu sekali  gus membuka ruang ekonomi baharu yang wajar dimanfaatkan penduduk khususnya warga petani di daerah ini.

Katanya, selain bimbingan, kerajaan juga menyediakan pelbagai peluang kepada penduduk yang ingin mengusahakan tanaman itu secara serius

“Kita menyaksikan majlis pecah tanah tapak projek tempat pengumpulan buah nanas di Sungai Janting. “Ini satu lagi inisiatif baharu yang bakal menyediakan peluang ekonomi kepada penduduk.

“Saya menggesa penduduk di sini supaya merebut peluang dalam tanaman nanas bagi menyahut hasrat Kerajaan Sarawak menjadikan kawasan ini sebagai pengeluar makanan,” katanya pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Dayak Bersatu Sarawak (PKDBS) dan Koperasi Agrobiz Jaya Berhad, di Rumah Jonathan Ugek, Sungai Janting baru-baru ini.

Beliau berharap, semua pihak memberikan kerjasama bagi memastikan projek berkenaan berjalan lancar sekali gus dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi peserta.

“Setiap yang kita lakukan mesti ada cabarannya. Ia memerlukan kesungguhan untuk melakukannya dan seterusnya dapat meningkatkan taraf kehidupan.

“Saya tahu kita mempunyai banyak tanah yang boleh diusahakan untuk pertanian. “Salah satunya ialah tanaman nanas MD2. “Justeru, rebutlah peluang ini dengan sebaik-baiknya, ” ujarnya.

Majlis disempurnakan Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr. Jerip Susil yang mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.