KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meletakkan penglibatan semua kaum terutama Dayak, Melayu/Melanau dan Cina dalam pembangunan Sarawak sebagai landasan politik beliau ke arah memacu negeri ini menjadi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030.

Justeru, beliau berkata akan terus tampil dengan pendekatan inklusif tanpa meminggirkan mana-mana kaum untuk mengecapi kemajuan dan pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Sarawak.

“Seperti yang diketahui, kita mempunyai tiga kumpulan kaum utama iaitu orang Dayak, Melayu/ Melanau dan Cina yang populasi lebih kurang sama, masing-masing satu pertiga.

“Oleh itu, kita mesti mempunyai platform yang sama kerana kita tahu tidak ada satu pun komuniti yang dapat memerintah negeri ini tetapi mesti ada tanggungjawab bersama semua kaum untuk membangunkan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaran pembinaan Ibu Pejabat Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) dan Dewan Perdagangan dan Industri Dayak (DCCI) di Jalan Ong Tiang Swee di sini, semalam.

Dalam pada itu, Abang Johari juga berharap agar komuniti Dayak akan terus bersatu dan bekerjasama membangunkan negeri ini.

Menurut beliau, ia memandangkan menjelang 2025 hingga 2030, infrastruktur, bekalan air, jalan raya dan jambatan akan siap, yang bermaksud kawasan pedalaman yang majoriti diduduki komuniti Dayak akan berkembang maju.

“Selepas itu, terserah kepada kita untuk mengisi kawasan pedalaman melalui inovasi dan kreativiti kita sendiri dan itulah masa depan dalam perniagaan, anda mesti mempunyai visi itu dan mesti dapat berinovasi serta mencipta perniagaan di era baharu,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata beliau sendiri bersama-sama pemimpin Dayak dalam Kerajaan Sarawak telah cuba mempersiapkan komuniti Dayak untuk terlibat dalam perubahan ketara landskap ekonomi negeri tanpa kehilangan identiti.

“Sekiranya ada platform itu dalam komuniti Dayak, saya yakin Dayak akan maju dengan lebih pantas,” katanya