SIBU: Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini tidak menghalang Kerajaan Sarawak untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, walaupun wabak itu adalah ancaman tetapi negara seperti Singapura, Korea Selatan dan New Zealand yang mengadakan pemilihan mereka pada waktu wabak ini.

“Mereka mengadakan pilihan raya tanpa masalah dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat.

“Bagi Sarawak, kita tidak mempunyai pilihan kerana setelah lima tahun Dewan Undangan Negeri (Dun) akan dibubarkan secara automatik.

“Jadi tiada masalah bagi saya dengan syarat SOP ketat dipatuhi, pilihan raya akan dapat diadakan bila-bila masa,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pecah tanah untuk Pakej A Jalan Sungai Bidut/Kampung Sebedil/Kampung Bungan Kecil di Rumah Augustine Meringgai di Nanga Tutus dekat sini, semalam.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri mengatakan bahawa selama ini tidak ada peruntukan undang-undang yang memungkinkan PRN ditangguhkan.

Terdahulu, dalam ucapannya Masing menasihatkan para pengundi di Dun Bawang Assan untuk membuat pilihan calon yang tepat pada pilihan raya akan datang.

“Kuasa adalah di tangan anda. Sekiranya anda membuat pilihan yang salah, anda akan kalah,” ujarnya.

Beliau juga menggesa rakyat untuk memberikan sokongan padu mereka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN-12 akan datang.

Hadir sama ialah Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting, Ketua Wanita PRS Dato Sri Doris Sophia Brodie, Senator Robert Lau Hui Yew dan Adun Tamin Ir Christopher Gira Sambang.