KUCHING: Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) yang bakal dibina di Jalan Ong Tiang Swee di sini merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah Unifor.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, majlis pecah tanah merupakan hari yang amat bersejarah bagi Unifor dan rumah ibadat bukan Islam seperti Kristian, Buddha, Sikh, Taoist, Confucius, Bahai, Hindu dan sebagainya.

“Unifor sememangnya layak mendapatkan kompleks tersebut dalam usahanya kepada pembinaan negara kerana ia sebagai mercu tanda perpaduan antara penganut agama di Sarawak yang bertuah ini.

“Bagi bangunan yang mempunyai ciri-ciri konsep bangunan hijau itu nanti, ia akan dibina setinggi 10 tingkat dan akan mempunyai tempat mesyuarat dua tingkat, dewan jamuan yang boleh menempatkan 1,000 orang jemputan, ruangan tertutup dan ruang komersial,” ujarnya dalam Majlis Pecah Tanah Kompleks Unifor Sarawak yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam.

Jelas Uggah yang juga Menteri bertanggungjawab dalam Unifor, untuk bergerak seiring dengan Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais), Unifor akan memainkan peranan mereka untuk membantu Kerajaan Negeri untuk mewujudkan solidariti dalam kalangan rakyat.

“Unifor yang ditubuhkan pada 27 April 2017 telah berfungsi untuk menjaga kebajikan semua agama bukan Islam dan memberikan bantuan kewangan untuk pembangunan fizikal, peningkatan atau pembaikan gereja atau kuil.

“Ia juga merupakan satu platform ketua agama untuk mengadakan perbincangan secara damai mengenai setiap masalah yang timbul dengan tujuan melindungi keharmonian dan kesatuan.

Uggah turut berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana telah menyediakan tapak seluas 1.214 hektar bagi pembinaan kompleks tersebut.

“Atas keprihatinan beliau dalam menyokong pembinaan Kompleks Unifor tersebut beliau juga telah memberi geran RM70 juta bagi menampung kos pembinaan tersebut.

Tambahnya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM15 juta untuk membiayai kegiatannya ketika Unifor mula dibentuk pada 2018 dan 2019.

Jumlah tersebut telah dinaikkan kepada RM20 juta dan RM30 juta.

“Bagi tahun ini, sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan dan sehingga kini, Unifor telah melaksanakan 520 projek infrastruktur di seluruh negeri.

“Sebagai tambahan kepada dana ini yang diperuntukkan kepada Unifor, Ketua Menteri turut meluluskan sejumlah RM40.59 juta di bawah Projek Rakyat.

“Dengan adanya dana tersebut, ia akan membantu gereja-gereja, kuil, kapels untuk mempunyai atap yang baik, lantai yang berturap atau mempunyai perabot kerana rakyat akan berasa lebih selesa ketika melaksanakan ibadat mereka,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Uggah menjelaskan bahawa pembinaan kompleks tersebut merupakan manifestasi jelas daripada dasar inklusif Ketua Menteri dan tidak dinafikan lagi beliau adalah pemimpin untuk semua kaum dan agama.

Oleh itu, Uggah meminta seluruh rakyat Sarawak untuk terus memberikan sokongan sepenuhnya kepada Ketua Menteri dalam membangunkan visi dan kepimpinannya untuk membangun sebuah negeri yang bersatu, harmoni, stabil, damai, progresif dan makmur menjelang 2030.