KUCHING: Rancangan Borneo From Above yang disiarkan di TVS mendapat pujian daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari tertarik dengan rancangan yang disiarkan di saluran 122 Astro itu – memaparkan keindahan panorama Sarawak dari atas dengan menggunakan dron.

Pengarah serta penerbitnya Muiz Hilmi ketika dihubungi berkata, pujian Abang Johari merupakan penghargaan dan penghormatan besar buat TVS.

“Saya bersyukur. Ia membuktikan objektif yang hendak saya paparkan dalam Borneo From Above sampai kepada penonton.

“Objektif rancangan itu untuk menunjukkan kemajuan pembangunan daerah di seluruh Sarawak termasuk Borneo untuk berkongsi keharmonian berbilang kaum,” jelas Muiz.

Tambahnya lagi, rancangan itu juga dapat menunjukkan bagaimana Kerajaan Sarawak menunai janji pembangunan kepada rakyat.

Kata Muiz, penggambaran Borneo From Above merupakan dokumentari yang 80 peratus dari pemandangan udara selebihnya di darat.

Borneo From Above mempunyai 13 episod dan Muiz merancang membuat penggambaran di kawasan pedalaman seperti Belaga, Kanowit dan kawasan pedalaman lain.