SEMALAM saya menerima pesanan daripada seorang pengikut laman sosial.

Beliau seorang ibu yang begitu risau apabila anaknya yang kini berada di Tingkatan 2 tidak berminat bersekolah dan ingin bekerja.

Saya menasihati ibu tersebut supaya memujuk anaknya kerana umur 14 tahun tidak sesuai untuk bekerja sebaliknya harus berada di bangku sekolah.

Tidak lama selepas itu seorang pelajar yang bakal menduduki SPM mesej saya melalui WhatApps.

“Cikgu…saya rasa SPM tahun ni saya gagal. Kalau gagal saya ingat nak kerja je… kerja kilang ke, kerja kat kedai makan ke… saya rasa susah nak lulus dan berjaya masuk universiti,” keluhnya.

Saya balas semula dengan pertanyaan – bagaimana jika kamu lulus cemerlang tahun ini? Kamu dapat tawaran belajar di sebuah IPTA? Dia senyap… dan membalas kembali..

“Tak mungkin cikgu… keadaan sekarang susah nak lulus apa lagi score… dah la PKP dulu lama tak ke sekolah… “ katanya lagi.

Saya bertanya lagi – kamu tidak berusaha langsung untuk belajar?

Masa sekolah dibuka kamu ponteng?”

Dia mengakui selepas sekolah dibuka dia tetap belajar di sekolah di samping belajar kelas dalam talian dan tidak ponteng.

Cuma dia rasa kurang motivasi tambahan pula apabila melihat media sosial ramai anak muda berjaya jadi youtuber (istilah untuk penghibur dalam talian) dan instafamous (gelaran bagi orang biasa yang popular di Instagram) – yang kaya tanpa belajar tinggi.

“Inilah masalahnya. Kamu ada usaha dalam pelajaran tapi tiada keinginan untuk berjaya dalam pelajaran.

Skill without will is fail – jangan terus tiru orang tanpa melihat keupayaan sebenar diri kita,” nasihat saya kepadanya.

Trending pula kisah gagal SPM tapi boleh jadi kaya. Kalau kita masih ingat satu ketika dulu ada instafamous yang bangga kerana tidak lulus SPM tetapi boleh menjana pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan sebagai influencer (individu yang mempunyai pengaruh besar di media sosial).

Itu yang dinamakan rezeki.

Tapi jangan dijadikannya penanda aras kecemerlangan hidup.

Berjaya kerana usaha itu lebih kekal berbanding berjaya kerana viral.

Nampaknya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19 mampu memesongkan persepsi pelajar untuk tidak berminat dengan pelajaran.

Kemungkinan besar masa yang dihabiskan dalam tempoh PKP di rumah bergantung pada gajet dan permainan dalam talian.

Ramai yang bermain permainan video atas platform langsung di Youtube dan Facebook serta berjaya membina lingkungan pengikut mereka sendiri.

Mereka mula merasakan menjadi popular dalam talian lebih menyeronokkan berbanding popular di sekolah sahaja.

Maka dengan ini, mereka mula memandang remeh perihal pelajaran di sekolah. Ibu bapa dan guru hendaklah berusaha keras mengenal pasti anak-anak yang kurang motivasi terhadap pelajaran.

Nasihatkan mereka bahawa sebelum menjengah dunia kerjaya, pastikan tamat dahulu persekolahan.

Ujian PT3, SPM, STPM memang bukan tiket untuk kaya tetapi penting menjadi indikasi dan syarat jika memohon pekerjaan.

Ingatlah bahawa datuk nenek serta ibu bapa kita dahulu sangat mementingkan pelajaran anak walaupun mereka tidak sekolah tinggi.

Jack Ma seorang individu tersohor juga masih berusaha mendapat tempat di Harvard Bussines School walaupun sudah kaya.

Bill Gates yang tidak habis belajar di universiti tetapi masih bergantung pada teknologi, pakar perisian dan pemasaran yang berkelulusan tinggi untuk melestarikan empayar IT beliau.

Ini sudah membuktikan ilmu sangat penting. Jangan ada yang bandingkan – ala aku dulu SRP je tapi pendapatan aku sebagai kontraktor lagi besar daripada pengurus bank lulusan universiti.

Saya pasti kontraktor berkenaan tetap menyuruh anaknya belajar sampai habis SPM malah kalau boleh, wajib miliki ijazah – sebab menyedari ilmu itu penting.

Oleh itu, ibu bapa kena cakna mengenai kepentingan pelajaran supaya anak tidak terlalu percaya sekolah pun boleh membuat mereka kaya.

Belajar sampai dapat sijil bukanlah tiket untuk menjadi kaya – itu benar.

Tetapi untuk menjadi kaya walaupun jahil – itu adalah mustahil.

Kesimpulannya di sini, kita kena bijak walaupun tidak pandai, kita kena rajin, jangan malas.

Kita kena yakin kita akan berjaya. Kepada yang lemah, berusahalah mengatasi kelemahan.

Belajar perbaiki mata pelajaran dan buktikan dengan mendapat keputusan yang memberangsangkan.

Do it in silence and shock them with action and result (lakukan dengan senyap-senyap dan biar mereka terkejut dengan kejayaanmu).

Hiraukan kata-kata negatif dan balaslah kebaikan ibu bapa dengan pencapaian cemerlang dalam pelajaran.

Jadilah orang yang pandai memanfaatkan potensi diri.

Jangan terikut-ikut rentak orang lain tetapi belajar mencari peluang supaya lebih baik daripada orang lain.

• Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman.