KUCHING: Stesen pengisian bersepadu di Sarawak menawarkan harga kompetitif untuk bahan bakar hidrogen, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau percaya harga pasaran untuk bahan bakar hidrogen akan lebih murah pada masa hadapan.

Katanya, harga pasaran untuk bahan bakar hidrogen boleh disamakan dengan harga pasaran untuk telefon bimbit, iaitu semakin murah selepas lama penggunaannya.

“Ini akan terjadi kepada bahan bakar hidrogen. Harga pengeluaran akan lebih efisien dan proses akan lebih murah pada masa akan datang, mungkin lebih murah berbanding bahan bakar petrol,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Stesen Pengisian Bersepadu Darul Hana di sini, semalam.

Abang Johari menambah, beliau berasakan seluruh dunia akan bertukar kepada penggunaan bahan bakar hidrogen kerana ia lebih mesra alam.

Malah katanya, Sarawak akan memainkan peranan penting dalam ekonomi dunia yang berdepan dengan pelbagai cabaran ekoran pencemaran.

“Pada tahun 2050 nanti, saya menjangkakan dunia akan dipacu hidrogen,” jelasnya.

Mengulas mengenai harga pasaran bagi tiga bahan bakar iaitu petrol, elektrik dan hidrogen, Abang Johari menjelaskan ia akan ditentukan kemudian, namun tetap kompetitif.

“Bagi harga pasaran bahan bakar petrol, ia akan bergantung kepada harga pasaran sedia ada yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan kerana ia adalah barang terkawal ,” jelasnya.