KUCHING: Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia mempunyai stesen pengisian bersepadu tiga dalam satu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, stesen tersebut menawarkan tiga pengisian bahan bakar iaitu petrol, elektrik dan hidrogen.

“Pembinaan stesen pengisian bersepadu menjadi pendekatan kepada Sarawak untuk memperkenal penggunaan hidrogen.

“Ini kerana hidrogen adalah satu daripada tenaga yang mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Stesen Pengisian Bersepadu Darul Hana di sini, semalam.

Abang Johari menambah, pembinaan stesen pengisian bersepadu tersebut akan dibina di beberapa tempat.

“Saya difahamkam stesen yang kedua akan dibina di MJC, Batu Kawa,” jelasnya.

Abang Johari menjelaskan, pemilihan kepada tiga bahan bakar tersebut adalah langkah untuk kemampanan alam sekitar.

“Kalau kita menggunakan kereta menggunakan bahan bakar minyak petrol, ia akan mengeluarkan asap dan mencemarkan udara.

“Sekarang ada kereta elektrik menggunakan kuasa bateri elektrik.

Tetapi bateri ada litium yang tidak mesra alam,” ujarnya.

Justeru, kata beliau, hidrogen akan menjadi bahan bakar yang penting pada masa hadapan.

“Ini sejajar dengan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kemampanan iaitu untuk menjaga alam sekitar,” katanya lagi.