COVID-19 yang melanda dunia sejak akhir tahun lalu, seakan-akan awan hitam kepada industri penerbangan
negara.

Kalau dahulu kita begitu bangga dengan sayap emas yang dimiliki oleh dua syarikat penerbangan; MAS dan AirAsia, hari ini kedua-duanya berhadapan kesakitan yang amat sangat.

Mereka berhadapan risiko kerugian yang amat besar.

Menurut Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, syarikat penerbangan negara kerugian kira-kira RM10.9 bilion tahun ini, tertinggi dalam sejarah.

Pada masa yang sama, pengendali lapangan terbang, Malaysia Airport Berhad turut diunjurkan rugi sekitar RM2.1
bilion bagi tahun kewangan 2020.

Ia detik yang pedih. Covid-19 menyebabkan 169,728 penerbangan dibatalkan untuk Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air sambil menjejaskan lebih 4 juta penumpang.

Seramai 1.2 juta penumpang kemudian memilih menangguhkan penerbangan mereka manakala
1.9 juta memilih untuk mendapatkan bayaran balik dalam bentuk nota kredit berjumlah hampir RM125 juta.

Manakala kira-kira 628,000 penumpang memilih bayaran balik tunai, yang berjumlah RM400 juta untuk semua syarikat penerbangan.

Malaysia Airlines membayar RM294 juta kepada 190,000 pelanggannya.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membantu penumpang terbabit dengan meminta syarikat penerbangan membuat bayaran balik berdasarkan setiap kes.

Di atas kertas, pandemik Covid19 telah menjejaskan prestasi kewangan AirAsia Group Bhd.

Ia menyebabkan syarikat penerbangan tambang murah itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2020, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM96.09 juta pada suku tahun
sama tahun lalu.

Justeru tidak hairanlah Tan Sri Tony Fernandes yang membelinya dengan nilai RM1 pada 8 September 2001 dikatakan sedang berunding dengan kerajaan untuk mendapatkan pinjaman.

Ini bukan sesuatu yang mustahil kerana AirAsia telah menawarkan khidmat yang cemerlang sebelum ini.

Kisah sedih sebenarnya lebih terarah kepada MAS. MAS yang pada 1 Mei lalu berusia 73 tahun, bagai tidak lagi mempunyai payung untuk berteduh selepas ini.

Kisah kelamnya bermula lebih awal, bermula dengan tragedi kehilangan pesawat MH370 ketika dalam perjalanan ke Beijing dan nahas MH17 yang ditembak jatuh di tanah Ukraine.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada dua minggu lalu menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menyuntik dana lagi kepada Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Ia sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada pemilik tunggalnya, Khazanah Nasional Bhd untuk menyelesaikan segala masalah dan isu.

“Kementerian Kewangan (MoF) tidak akan menyuntik apaapa tunai atau modal kepada syarikat penerbangan melalui Khazanah.

Oleh itu, Khazanah perlu merangka langkah sendiri untuk memastikan kelangsungan Malaysia Airlines,” tegasnya.

Dikatakan, syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG), telah mengingatkan
Khazanah bahawa ia akan mempertimbangkan proses penutupan jika perbincangan mengenai penstrukturan semula dengan pemberi pajakan tidak menemui titik pertemuan.

Kerana itu, telah dicanangkan pelan alternatif yang mungkin diambil adalah dengan mengalihkan dana kepada syarikat penerbangan sekutu MAS, Firefly.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), industri penerbangan dijangka kehilangan AS$84.3 bilion pada 2020 untuk margin keuntungan bersih sebanyak -20.1 peratus, manakala perolehan akan merosot
50 peratus kepada AS$419 bilion daripada AS$838 bilion pada 2019.

Dari segi prospek kewangannya untuk pengangkutan udara global, IATA berkata bagi 2021, kerugian
dijangka berkurangan kepada AS$15.8 bilion berikutan perolehan meningkat kepada AS$598 bilion.

Sementara dari segi kewangan jelasnya lagi, 2020 akan menjadi tahun paling sukar dalam sejarah penerbangan.

Secara purata, setiap hari pada tahun ini akan menambah AS$230 juta kepada kerugian industri. Secara  eseluruhannya, kerugian itu adalah sebanyak AS$84.3 bilion.

Bagi pemain industri, terdapat beberapa pertimbangan yang boleh diambil kira jika tidak mahu negara lumpuh tanpa operasi penerbangan.

Antaranya, menubuhkan sebuah syarikat penerbangan baharu yang lebih kecil dan dinamik.

Ia boleh mengambil iktibar daripada MAS yang membesar sehingga sekitar 13,000 tenaga kerja ketika ekonomi suram ini.

Ya, ia telah pun menjalani beberapa proses pengecilan sebelum ini, akibat siri kerugian berdekad, terutamanya akibat kenaikan harga bahan bakar.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB Group Kapten Izham Ismail pada April lalu berkata, pendapatan syarikat susut sehingga 94 peratus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ini menyukarkan mereka untuk tidak membuat pilihan mengurangkan kakitangan dan penutupan.

Ia opsyen yang menarik kerana pada waktu ini, jumlah pelanggan penerbangan masih sukar untuk ditingkatkan.

Penduduk dunia masih trauma dan skeptikal untuk terbang manakala banyak sempadan dunia masih ditutup.

Malah selepas Covid-19 berakhir, ia pasti mengambil masa dua hingga tiga tahun sebelum pelancong berani untuk mengembara kembali.

Justeru, kita harus bersedia untuk menerima berita bahawa ada syarikat penerbangan ini akan gulung tikar, mengikuti beberapa syarikat lain di beberapa negara lain.

Ya, pendapatan teruk hampir 12 bulan.

Pesawat tidak bergerak namun pajakan dan bayaran parkir, sewa ruang dan gaji bekerja perlu dilunaskan.

Siapa yang sanggup untuk berada dalam situasi ini?

Opsyen lain, termasuklah menyerahkan syarikat ini kembali sebagai entiti kerajaan.

Dan mungkin juga kepada Kerajaan Negeri.

Dan mungkin ini waktunya untuk Sarawak mengusulkan pembelian yang bijak, jika mahu meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini, dengan mewujudkan penerbangan langsung.

Tidak salah ia berlaku, pada harga RM1, mengikut model perniagaan yang diilhamkan Tony Fernandes.

Rudi Affendi Khalik merupakan Ketua Divisyen Berita dan Ehwal Semasa, Sarawak Media Group Sdn Bhd. Beliau merupakan mantan Ketua Pegawai Operasi Suara Sarawak.