SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari menyifatkan budaya membaca harus bergerak seiring dengan era digital dalam usaha membangunkan rakyat di negeri ini yang kaya ilmu pengetahuan.

Katanya, amalan membaca perlu dipertingkatkan walaupun ramai yang lebih suka menggunakan media sosial untuk mendapatkan maklumat dan menyelesaikan masalah.

“Kerajaan Negeri akan bersama-sama dengan Perpustakaan Negeri Sarawak untuk sentiasa berusaha mengadakan insiatif bagi meningkatkan bilangan pembaca di negeri ini.

“Saya percaya dan yakin dengan menembusi aktviti pendigitalan bahan bacaan, maka ia akan membantu meningkatkan amalan membaca dalam kalangan individu dewasa kerana kebanyakan mereka sukar menjalankan kehidupan harian tanpa memegang telefon pintar.

DARI KAMI…Abang Johari (kanan) menerima cenderamata berupa bahan bacaan daripada Hamid (tengah) dan Rasidah selepas merasmikan Pustaka Sibu.

“Era digital juga masih di peringkat awal perkembangannya. Bagaimanapun arah tuju serta sasarannya sedang berkembang dengan pantas, seiring dengan kemajuan teknologi yang mendasarinya,” jelasnya lagi.

Beliau memberitahu, pada hakikatnya ialah penciptaan serta penambahan nilai tersebut dalam teknologi digital sangat bergantung kepada ilmu pengetahuan dan daya kreatif mereka yang terlibat.

Abang Johari berkata, Kerajaan Negeri beriltizam menjayakan strategi ekonomi digital sebagai dasar memajukan ekonomi Sarawak, menuju status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Oleh itu, tegasnya lagi, banyak inisiatif telah dilaksanakan dengan baik dalam membangunkan infrastruktur.

Selain itu, tambahnya, programprogram latihan juga turut dilaksanakan supaya tiada rakyat di negeri ini yang ketinggalan.