LEBUH Raya Pan Borneo masih dalam proses pembinaan dan penyiapan.

Begitu juga dengan Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua termasuk, Rangkaian Terputus serta Jalan Penghubung dijangka siap sepenuhnya lima tahun lagi.

Penyiapan jalan raya raksasa ini seperti menyediakan Sarawak yang baharu dalam Kepulauan Borneo.

Sekiranya dilihat dari sudut ekonomi dan sosial, ternyata Sarawak sedang membuka dirinya dalam wilayah BIMP-EAGA yang memiliki 57.5 juta populasi. BIMP-EAGA merangkumi 1.6 juta kilometer persegi keluasan, dilancarkan pada 1994, melibatkan Malaysia Timur, Brunei Darusalam, Indonesia dan Filipina.

Untuk masa depan ia menyediakan masyarakat yang besar untuk sosialisasi. Dari segi pentas ekonomi, ia wilayah berpotensi untuk pasaran dan pemasaran hasil bumi serta sumber produk masa depan.

Begitulah bagaimana prasarana seperti jalan raya, elektrik, air dan telekomunikasi di Sarawak yang masih disiapkan hari ini, bakal memberi sinar harapan besoknya.

Bercakap tentang manfaat kepada rakyat, perlu disedari bumi Sarawak yang hampir seluas Semenanjung memiliki tidak sampai 3 juta jiwa, tidak sampai 10 peratus daripada jumlah hampir 33 juta penduduk negara.

Ini bermakna pembangunan sedia ada mampu memberi kemudahan kepada rakyat.

Cepat atau lambat Sarawak akan terhubung melalui kemudahan jalan raya, termasuk kemudahan jambatan menyambung dua daratan terputus oleh aliran sungai.

Selain jambatan yang terdapat dalam daerah dan wilayah masing-masing, kerajaan sudah menyiapkan Jambatan Batang Sadong, Jambatan Batang Samarahan, Jambatan Batang Rajang serta menaik taraf beberapa jambatan yang mampu mempercepat perjalanan antara wilayah dengan bahagian serta daerah dan pelosok.

Kini rakyat menunggu siapnya Jambatan Muara Lassa, Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Paloh, Jambatan Sungai Krian, Jambatan Batang Igan, Jambatan Batang Saribas demi melihat negeri ini mampu beraksi pada masa depan.

Dan ketika itu nanti, Indonesia sudah pun memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Kalimantan yang mampu memberi nilai sendiri untuk Sarawak beraksi dalam Kepulauan Borneo.

Sementara, ketika jalan raya raksasa ini disiapkan dan jambatan demi jambatan disiapkan, kawasan terpencil yang lain akan menikmati kemudahan feri. Kenapa feri masih diperlukan?

Perlu rasional melihat situasi geografi bentuk bumi Sarawak yang banyak sungai, bahawa sebelum jambatan disiapkan perkhidmatan feri perlu dinaik taraf.

Dan apabila jambatan sudah disiapkan, perlu bagi khidmat feri dialihkan ke lokasi yang memerlukan sementara menunggu perancangan baharu menghubungkan kawasan berkenaan kemudiannya.

Kerajaan membelanjakan RM78 juta setahun menampung operasi 12 pangkalan feri di negeri ini.

Dari segi ini, kita memahami sebelum beberapa perkampungan di Asajaya yang dipisahkan sungai dibina jambatan, maka perkhidmatan feri Tambirat-Beliong disediakan.

Pembinaan Feri Beliong ini bakal menghubungkan Kampung Beliong, Semilang dan Beradek dengan Asajaya, merapatkan daerah terpencil dengan wilayah lain.