MUKAH: Bagi memastikan usahawan wanita maju dari peringkat desa sehingga ke peringkat global, produk yang dipasarkan oleh mereka perlu memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan untuk pasaran antarabangsa.

Menteri Kebajikan, kesejateraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, usahawan wanita jangan hanya mengehadkan pemasaran produk di peringkat kampung sahaja.

“Populasi Sarawak sangat kecil bagi pasaran produk mereka. Tambahan pula ramai wanita melibatkan diri dalam dunia perniagaan dengan produk masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Sarawak selepas merasmikan Program Wacana Ilmu-Ilmu Inspirasiku (WINS) anjuran Kemajuan Masyarakat Negeri Sarawak di The Grand Kingwood Resort di sini baru-baru ini.

Jelasnya lagi, bagi memenuhi pasaran global, antara kriteria yang perlu dipatuhi ialah produk makanan mesti memenuhi aspek keselamatan makanan; mengandungi label kandungan, pembungkusan standard dan banyak lagi.

“Sekiranya pelbagai aspek tersebut belum dapat dipatuhi dan belum sampai kepada standard tersebut, maka sukar untuk mereka menembusi pasaran global.

“Sehubungan itu, kita perlu bantu wanita kita ini dari segi meningkatkan kualiti produk makanan, tetapi juga perlu mencapai kelayakan stadard global pembungkusan, dan kini ia diusahakan oleh pihak Kementerian Pemodenan Pertananian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah melalui Jabatan Pertanain dan pelbagai agensi lain,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Fatimah turut menggalakkan usahawan wanita menggunakan langkah pemasaran dalam talian termasuk berani mencuba dan rajin mencari ilmu baharu melalui latihan berterusan dalam dunia perniagaan.

“Kita boleh berjaya jika kita terus bersungguh-sungguh dan mempunyai iltizam serta komitmen yang tinggi.

“Meskipun tidak menjalani latihan pada asalnya, namun jika mempunyai kemahiran dan kemahuan, pasti kita dapat memasarkan produk kita berkat usaha gigih,” katanya lagi.

Dalam majlis tersebut Fatimah turut merasmikan Buku Direktori Usahawan Quick Win 2020 dan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pertandingan antarapertandingan mewarna, pertandingan gubahan bunga plastik, pertan-dingan taman mini kaktus dan pertandingan kuih etnik.

Malah daripada 250 peserta wanita yang hadir dari sekitar Bahagian Mukah dalam program tersebut, salah seorangnya merupakan usahawan dari Kampung Suyung Balingian, Halipah Sihu telah dianugerahkan Ikon Usahawan Kemas Negeri Sarawak bagi tahun 2020.

Turut hadir Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol; Adun Tellain Yusibnosh Balo; Setiausaha Politik Ketua Menteri Fridah Osman Adenan dan Pengarah Kemas Negeri Khairuddin Mohd Nasir