KUCHING: Sebanyak 97 peratus Institut Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) di negeri ini telah membuat permohonan untuk mendapatkan Geran Tahunan Khas bagi tahun 2020.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak RM16 juta telah diperuntukkan untuk diagihkan kepada 3,105 IPAKK sehingga 30 September lalu.

“Sebanyak RM5,000 telah diberikan kepada setiap IPAKK yang berdaftar di Sarawak untuk menyediakan makanan yang berkhasiat kepada anak-anak.

“Geran itu juga digunakan untuk membeli peralatan pembelajaran dan pendigitalan asuhan dan bimbingan kanak-kanak,” katanya pada majlis perasmian bangunan baharu Taska Qaseh Laila Jalan Bampfylde pada Selasa.

Tambahnya, geran itu juga boleh digunakan untuk aktiviti yang melibatkan kerjasama ibu bapa dan guru dalam kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak serta meningkatkan ilmu kompetensi guru dan pengasuh melalui latihan, bengkel dan konvensyen.

Dalam pada itu Fatimah memberitahu, Kerajaan Sarawak telah meluluskan penggunaan Geran Tahunan Khas untuk diperluaskan bagi membantu IPKK swasta membayar sewa serta gaji pendidik/pengasuh serta membeli kelengkapan dan cecair disinfeksi, pencuci tangan serta pelitup muka.

Kata Fatimah lagi, daripada maklum balas yang diterima oleh kementeriannya, pihak pengusaha tadika dan taska memberi respons yang amat positif terhadap pemberian Geran Tahunan Khas.

Selain itu Fatimah berkata, geran itu turut diberikan untuk membiayai aktiviti ibu bapa dan guru yang digunakan bersama-sama anak-anak.

“Pembelajaran awal kanakkanak sangat penting bagi anakanak, sebab itulah kementerian telah menerbitkan buku panduan berjudul Panduan Asuhan di Rumah untuk kegunaan ibu bapa dan ibu tunggal yang tidak mahu menghantar anak-anak mereka yang berusia di bawah dua tahun atau tiga tahun ke taska.

“Buku ini mengandungi garis panduan mengenai perkembangan kanak-kanak dari usia 0 bulan hingga 4 tahun. Ia juga merangkumi topik mengenai penyusuan susu ibu, amalan penjagaan anak, keselamatan, pemakanan yang diperlukan oleh anak dan kebersihan anak.

“Buku ini buku bergambar agar ibu bapa lebih mudah memahami terutama bagi ibu yang pertama kali bergelar ibu. “Selain itu, buku panduan ini diterbitkan dalam bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Iban,” katanya.

Jelas Fatimah, buku tersebut diserahkan kepada penerima Bantuan Ibu Bersalin (BIB). Bagi mereka yang ingin mendapatkan buku itu juga boleh mendapatkannya dari pejabat  kementerian itu sendiri.