SIBU: Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan Sibu sebagai bandar ilmu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Negeri mewujudkan Pustaka Sibu untuk merealisasikan tujuan tersebut.

“Ini adalah satu pelaburan Kerajaan Negeri untuk masa depan masyarakat Sibu dengan terbinanya pustaka serba moden ini.

“Pustaka Sibu adalah bukti kesungguhan Sarawak untuk membangunkan sumber manusia.

“Ia bukan sahaja merakyatkan sumber maklumat dalam pelbagai bentuk, malah Pustaka Sibu juga diamanahkan untuk menyebarkan kemahiran teknologi melalui program literasi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pustaka Sibu di sini, semalam.

Menurut Abang Johari lagi, hanya melalui penguasaan ilmu dan kemahiran sahaja, masyarakat tidak akan ketinggalan dalam apa jua inisiatif pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk Sibu memanfaatkan Pustaka Sibu bagi memenuhi keperluan maklumat sambil mempertingkat ilmu pengetahuan masing-masing.