JATUH cinta dengan keunikan Sarawak mendorong Dr Ashok Segar, 58, dan isterinya, Marites C. Martinez, 50 berasal dari Singapura berhijrah dan menetap di sini.

Menurut Dr Ashok, beliau dan isterinya mula jatuh cinta dengan Sarawak ketika mereka bercuti selama seminggu.

“Saya sangat gembira menetap di Kuching kerana gaya hidupnya berbeza berbanding di Singapura.

“Penduduk di sini mempunyai lebih masa untuk kita berbanding penduduk Singapura yang mempunyai hidup yang lebih sibuk,” ujarnya.

Pencinta Haiwan

Menariknya, pasangan itu menggunakan keluasan tanah yang mereka miliki di Batu 15, Kuching, sebagai zoo mini.

Zoo mini yang dimiliki pasangan itu mampu menjadi daya tarikan pelancong tetapi hanya untuk keluarga dan rakan terdekat.

Cetusan idea menjadikan kawasan rumah mereka sebagai zoo mini kerana mereka merupakan pencinta haiwan.

Terdapat lebih daripada 10 jenis haiwan seperti kucing, anjing, musang dan burung dijadikan haiwan peliharaan.

Marties C Martinez dan suaminya memelihara lebih daripada 10 jenis haiwan di tempat kediamannya.

“Kucing dan anjing yang terdapat di sini merupakan haiwan jalanan dan dijaga dengan kasih sayang sehingga haiwan ini membesar dengan baik dan sihat.

“Saya menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa untuk kucing ini supaya ia dapat berteduh dengan lebih selesa,” ujar Martinez.

Cinta terhadap haiwan menguatkan lagi keinginan pasangan itu untuk menambah lebih banyak jenis haiwan pada masa akan datang.

Bahkan, pelbagai jenis tumbuhan juga ditanam di sekitar kawasan itu seperti sayuran-sayuran, buah-buahan, dan tanaman hiasan.

Suasana Aman Dan Tenteram

“Selalunya hasil tanaman seperti buah durian dikongsi bersama-sama keluarga dan kawan kerana saya dan suami tidak dapat menghabiskannya.

“Saya mencuba pelbagai resepi daripada hasil tanaman ini dan membuatkan saya tidak perlu ke pasar,” kata Martinez.

Menurut Dr Ashok, suasana di kawasan luar bandar lebih aman dan tenteram.

“Sekiranya saya teringin makan ikan, saya hanya perlu ke sungai untuk menangkap ikan yang segar.

“Saya berjalan di sekitar kawasan rumah saya pada 3 pagi untuk menikmati suasana tenang dan nyaman.

“Tiada apa-apa yang perlu ditakuti untuk berjalan pada waktu itu kerana saya sudah selesa dengan suasana ini,” kata Martinez.