MIRI: Seramai 16 sukarelawan menjayakan Bengkel Kesedaran Pembersihan Terumbu Karang di Taman Negara Marin Miri Sibuti di sini pada Selasa.

Datuk Bandar Miri Adam Yii ketika menyempurnakan majlis perasmian pogram itu semalam menzahirkan ucapan tahniah kepada Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) atas usaha mereka menganjurkan program tersebut.

“Program ini diadakan di Taman Negara Marin Miri Sibuti yang merupakan kawasan menyelam menarik dan mendapat perhatian daripada pelancong.

“Miri sebuah pusat menyelam yang menerima perhatian kerana memiliki keindahan dasar laut dan koleksi terumbu karang yang cantik hingga membentuk Taman Negara Marin,” katanya.

Adam menambah, taman tersebut merupakan taman negara marin terbesar di negeri ini yang juga merupakan satu destinasi menarik untuk pelancong khususnya bagi mereka yang berminat dalam aktiviti menyelam.

“Promosi atau usaha perlu dijalankan bagi mengkomersialkan taman laut itu kepada penggemar sukan menyelam. “Taman Negara Marin kini mula diangkat sebagai produk pelancongan negeri yang mampu menarik kehadiran kumpulan penyelam dari dalam dan luar negara,” jelasnya.

Selain itu, beliau berharap pengendali pelancongan giat mempromosikan taman negara itu, sekali gus merancakkan industri pelancongan sukan air.

“Dari segi ekopelancongan, ia boleh menjadi tarikan pelancong tempatan mahupun luar negara menerusi aktiviti menyelam dan memancing laut dalam yang semakin berkembang dan bakal menjadi satu produk pelancongan.

“Kebersihan alam sekitar termasuk di laut perlu dikekalkan bagi memastikan produk pelancongan Miri yang popular iaitu aktiviti menyelam kekal sebagai salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negeri ini,” ujarnya.

Oleh itu katanya lagi, NSJA yang aktif melakukan pelbagai kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan serta penglibatan aktif mereka dalam memberi sumbangan kepada masyarakat layak diberikan pujian.

“Kita harus menjaga keindahan dan kebersihan Taman Negara Marin Miri-Sibuti, oleh itu, NSJA telah menunjukkan contoh baik yang harus diteladani oleh golongan masyarakat.

“Walaupun media sibuk dalam tugas harian, mereka tetap melibatkan diri secara sukarela dalam aktiviti kemasyarakatan,” ujar beliau.

Difahamkan, peserta yang terlibat daripada Borneo Net Ghost Hunter, Miri Diver Centre, anggota bomba dan media tempatan.