KUCHING: Jika anda penggemar animasi, jangan ketinggalan untuk menonton program Director’s Cut yang bersiaran setiap Ahad, jam 3.15 petang di TVS saluran Astro 122.

Program yang bersiaran selama 30 minit itu menampilkan Gregory Wee sebagai hos, yang akan membincangkan bagaimana industri kreatif Sarawak dapat maju lebih jauh ke hadapan terutama dalam bidang animasi.

Gregory merupakan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Swinburne di sini, yang mempunyai pengalaman dalam menghasilkan ilustrasi komik, animasi dan pembuatan filem.

Dalam program ini, Gregory juga membincangkan apa-apa yang perlu dilakukan untuk menjadikan Sarawak sebagai pusat animasi dan bagaimana TVS dapat memainkan peranan utama dalam mewujudkan minat dan menjadi platform penggiat industri kreatif memaparkan program mereka.

Program ini antara lain bertujuan untuk membangunkan komuniti animasi tempatan. Gregory akan menjemput tetamu khas dari seluruh negara yang juga pakar dan penggiat bidang animasi.

Antara topik yang menjadi perbincangan adalah pembangunan ekosistem, penjenamaan dan promosi, pelaburan, akses pasaran dan kerjasama perniagaan, pembiayaan dan insentif, pembangunan bakat dan pengisian semula dan kerjasama antara wilayah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TVS Suhaimi Sulaiman, pihaknya sedar di Sarawak terdapat banyak penggiat bidang animasi dan pihaknya menggalakkan pemikiran tersebut dan bertindak mempromosikannya.

“Saya sangat kagum dengan siaran episod pertama rancangan ini kerana program tersebut sangat menarik.

“Apabila penonton melihat seorang ahli akademik yang telah banyak menghasilkan dan bercerita tentang animasi serta menemu ramah orang lain, itu adalah kredibiliti untuk TVS,” ujarnya ketika ditemui ramah di Pejabat TVS, baru-baru ini.