KUCHING: Seorang wanita berusia 34 tahun menjadi korban keempat rabies di Sarawak tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, mangsa dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober lalu kerana mengalami lemah pada kedua-dua belah kaki sejak lima hari sebelum itu.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia pada 18 Oktober lalu jam 11.30 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis.

“Mangsa disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Unimas pada 19 Oktober,” katanya menerusi satu kenyataan sebentar tadi.

Tambah Noor Hisham, siasatan mendapati kawasan kediaman mangsa berdekatan dengan tapak pelupusan sampah dengan kewujudan banyak anjing liar yang berkeliaran.

“Mangsa pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada penghujung tahun 2018 namun tidak mendapatkan rawatan di sebarang fasiliti kesihatan.

“Anjing peliharaan tersebut bebas bercampur dengan haiwan lain dan tidak pernah diberi suntikan vaksin antirabies,” jelasnya.

Katanya, haiwan berkenaan telah dibunuh oleh orang awam susulan satu lagi kejadian anjing berkenaan menggigit seorang lagi individu.

“Namun, tiada sampel dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing tersebut.

“Susulan itu, ini menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak adalah empat orang pada tahun 2020,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kumulatif kes rabies di Sarawak sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017 sehingga 21 Oktober 2020 adalah sebanyak 26 kes.