KUCHING: Ramai pelanggan Sarawak Energy Berhad (SEB) telah memilih untuk menggunakan sistem digital melalui aplikasi mudah alih “SEB cares” sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Lau Kim Swee berkata, seramai 210,000 atau 30 peratus pengguna daripada 700,000 pelanggan Sarawak Energy, kini didaftarkan untuk menggunakan aplikasi tersebut sekitar September lalu.

“Kami telah mendaftarkan lebih 100,000 pengguna baharu dalam tempoh enam bulan sejak Mac, yang mewakili kenaikan 100 peratus dalam tempoh tersebut.

“Dengan itu, kami ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan yang telah menggunakan aplikasi mudah alih ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Menurutnya, pihak SEB amat menitik beratkan penggunaan akses digital sepanjang perkhidmatan dalam utiliti kuasa sejajar keadaan yang melanda negara.

Katanya, perkhidmatan ini dipercayai dapat menjamin keselamatan pelanggan kerana tidak memerlukan mereka untuk keluar rumah bagi menguruskan hal-hal yang berkaitan.

Difahamkan, pelanggan dapat mengakses semua perkhidmatan seperti penyemakan bil, laporan bacaan meter untuk penyesuaian bil dan membuat pembayaran dalam talian melalui FPX (perbankan internet) atau kad kredit dalam tempoh 24 jam.

Pelanggan juga dimaklumkan awal mengenai gangguan bekalan elektrik yang bakal berlaku di kawasan masing-masing menerusi aplikasi yang sama.

“Kami sangat menghargai sokongan proaktif pelanggan yang menggunakan aplikasi ini untuk menyoroti masalah yang berlaku agar kami dapat bertindak balas dengan cepat,” katanya.

Lau menjelaskan bahawa SEB turut memulakan inisiatif digitalisasi lain seperti aplikasi bekalan elektrik dalam talian dan pemeteran pintar untuk bacaan jarak jauh dalam usaha meningkatkan mutu dalam perkhidmatan pelanggan.