TANJUNG MANIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) Tanjung Manis dinobatkan sebagai pejabat Maritim pertama menerima anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam(EKSA) di Malaysia, hari ini.

Penyerahan sijil tersebut oleh Pengarah Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia(MAMPU) Sarawak, Banges Munga kepada Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berlangsung di pejabat MAMPU Sarawak.

Ariz berkata, anugerah itu diterima selepas proses pengauditan dilakukan oleh pasukan Audit Pensijilan EKSA MAMPU Sarawak pada 23 hingga 25 September 2020.

Menurutnya, bangunan pejabat tiga tingkat itu berkeluasan sekitar 1,095 meter persegi yang menempatkan 44 pegawai dan anggota.

“Penerapan EKSA Zon Maritim Tanjung Manis bermula seawal 24 April 2019 dengan galakan Cawangan Inovasi dan Kualiti, Bahagian Khidmat Pengurusan Ibu Pejabat Maritim Malaysia serta pegawai peringkat atasan Maritim Sarawak.

“Objektif utamanya untuk meningkatkan imej pejabat serta memupuk semangat kerja berpasukan dan pembangunan inovasi, idea serta kreativiti bagi mengiktiraf usaha setiap individu atau berkumpulan secara berterusan,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, amalan EKSA oleh setiap warga pejabat dilihat amat menggalakkan selaras dengan panduan daripada pihak MAMPU.

EKSA merupakan salah satu dasar perkhidmatan awam yang diterajui oleh MAMPU untuk menerap dan meningkatkan budaya kecemerlangan organisasi berimejkan korporat serta melahirkan idea kreatif serta inovasi.