SELALU jatuh cinta dengan kerjaya anda, percaya semua kerja selesai dengan jayanya, itu nasihat guru ketika kami masih sekolah menengah bawah.

Waktu itu kami tidak berapa faham apa-apa makna kerja bagi orang dewasa.

Yang kami faham, kerja sepanjang 29 hari dan hari ke-30 hari bulan terima gaji.

Namun kata-kata itu seakan-akan azimat apabila kami sudah berada di dunia pekerjaan. Lakukan dengan perasaan cinta, kita membuahkan hasil yang berkualiti.

Perasaan itu sama seperti jatuh cinta, kita memastikan penampilan kita pada hari itu kemas dan cantik sebelum keluar bertemu janji.

Begitu rasanya apabila kita jatuh cinta dengan kerja, kita sentiasa mahukan yang terbaik.

Kerja Yang Glamor

Pada mata orang luar, kerja di media massa terutama akhbar harian mungkin dianggap glamor dan popular terutama dalam kalangan wartawan.

Sebenarnya bukan mudah menjadi wartawan.

Jika anda berfikir wartawan cuma kerjaya bagi mengisi kekosongan organisasi media, baik tidak payah.

Kerjaya sebagai wartawan bukan dapat tangkap muat atau kerana anda pemegang ijazah komunikasi massa, jadi anggap sudah cukup layak.

Tidak, pekerjaan itu bukan kerja sambil lewa.

Pekerjaan ini harus didatangkan khas dengan minat dan kemahiran. Bagaimana menghasilkan tulisan yang baik jika anda melangsaikan kerja hanya kerana kerja semata-mata?

Tulisan Datang Daripada Perasaan Cinta

Tulisan yang baik dan ada jiwa datang daripada perasaan cinta dengan tulisan anda sendiri.

Jika menulis dalam keadaan terpaksa, hasilnya sama seperti anda menyalin esei di permukaan papan hitam seperti murid darjah enam.

Tidak dapat dinafikan, wartawan memang pekerjaan yang menyeronokkan. Sekali lagi, pekerjaan itu juga kerjaya glamor pada mata orang luar.

Apabila ditanya, apakah pekerjaan anda – jawablah wartawan – dan jawapan itu mengalih terus tanggapan orang luar.

Percaya atau tidak, orang luar anggap wartawan seperti bos, orang paling berpengaruh dan popular.

Penulis terkenal Indonesia Pramoedya Ananta Toer menganggap kerjaya sebagai penulis atau wartawan itu luar biasa.

Penulis Indonesia Tersohor

Bagi yang tidak mengenali beliau, Pramoedya Ananta Toer merupakan penulis Indonesia yang disegani malah tersenarai sebagai pengarang sastera tersohor dalam sejarah penulisan negara itu.

Beliau meninggal dunia pada 2006, namun namanya kekal dalam sejarah sastera Indonesia.

Pada masa kemerdekaan Indonesia, Ananta menyertai pasukan tentera di Jawa dan ditempatkan di Jakarta pada akhir perang kemerdekaan.

Beliau juga pernah dipenjara selama bertahun-tahun dan beliau menghasilkan cerpen dan buku di sebalik tirai besi.

Oleh kerana kecintaan terhadap dunia penulisan walau dilarang untuk memegang pena ketika dipenjara, akhirnya Ananta berjaya menghabis karya terkenalnya Bumi Manusia, empat siri novel terkenal berkenaan fiksi sejarah Indonesia.

Kata akhirnya, jika mahu sentiasa diingati maka jadilah penulis, wartawan atau pengarang. Inilah kelebihan apabila anda menyertai dunia kewartawan, nama anda diingati sepanjang masa.

Jadi wartawan yang benar bukan yang omong-kosong. Percayalah, seronok menjadi wartawan kerana anda dikelilingi orang terkenal sehingga pengemis di tepi jalan.

Namun sekali lagi, setiap pekerjaan itu harus disertakan dengan perasaan cinta.

Bakarkan perasaan untuk menulis seakanakan anda jatuh cinta dengan seseorang dan yakinlah, sepanjang hari anda seronok untuk menulis.

Tanggungjawab Yang Besar

Ingat juga, kerja di dada akhbar tanggungjawabnya besar.

Perkara yang wartawan tulis merupakan kebenaran bagi orang luar.

Pada pena anda, diletak masa depan orang ternama. Salah tulis anda dapat menjatuhkan seorang menteri jadi pada kedana, seorang pengemis menjadi kaya.

Jadi jika anda hari ini sebahagian daripada wartawan, hargai kerjaya anda.

Belajar menulis dengan lebih baik, belajar daripada kesilapan setiap hari. Jangan mengulangi kesilapan.

Jadi kakitangan media, kita tidak boleh duduk stastik, setiap hari perlukan perubahan.

Jika hari ini anda seorang wartawan biasa, satu hari kelak mana tahu anda menjadi tersohor sehingga mampu menakluk dunia.

Jadilah wartawan yang sentiasa ikhlas dengan kerja, yang sentiasa jatuh hati penulisan dan sentiasa mahu berubah.

Dalam apa-apa kerjaya pun, semua memerlukan keikhlasan dan kesukaan terhadap kerja.

Itu penanda aras untuk berjaya!