SARATOK: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok merupakan PPD pertama bakal memiliki lagu korporat sendiri berjudul ‘SaTU’ yang membawa suara hati seluruh warganya di Saratok.

Ia dihasilkan sepenuhnya oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembelajaran) Shahrizan Sarbini.

Menurutnya, lagu SaTU dicipta dalam tempoh satu hari iaitu pada 10 Oktober lalu dilancarkan  oleh Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus bersempena Majlis Makan Malam Prapersaraan beliau di Dewan SJKC Min Syn Saratok.

“Istimewanya, lagu ini menunjukkan PPD Saratok merupakan satu-satunya PPD dari seluruh Sarawak yang mempunyai lagu juang sendiri.

“Menarik untuk dikongsi juga, saya menerapkan elemen melodi joget di dalam lagu ini sesuai dengan budaya bermukun di Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

PENYANYI… Shahrizan (kiri) bergandingan dengan Firdaus menyanyikan lagu tersebut.

Beliau menciptakan lagu ini bagi menyahut cabaran Pegawai Pendidikan Daerah Saratok Anis Madeli yang ingin melihat PPD Saratok mempunyai lagu juang sendiri seperti Fly Kenyalang Fly, Fly High ciptaan komposer terkenal Patrick Kamis yang juga mantan Pengetua SMK Pusa.

Shahrizan mengharapkan seluruh warga PPD Saratok untuk menghayati dengan mendalam melodi lagu dan bait-bait liriknya.

“Lagu ini menggambarkan identiti amanah kami di PPD Saratok yang sentiasa bersedia untuk membantu semua sekolah dalam Daerah Saratok daripada segenap aspek.

“Sudah tentu, saya mahu lagu ini diterima baik oleh seluruh warga pendidikan Daerah Saratok khususnya dan Sarawak amnya kerana ia adalah suara hati kita yang bergelar pendidik,” ujarnya.

SaTU merupakan singkatan kepada Saratok Terus Unggul.