SIBU: Sepanjang berkhidmat di dalam perpustakaan, beliau tidak mengimpikan apa-apa kejayaan sebaliknya berkhidmat sebagai pustakawan demi masyarakat.

Itu antara rahsia kejayaan Penolong Pustakawan Perpustakaan Desa Kampung Hulu Maludam Saadiah Maliki dan tidak menyangka menerima Anugerah Individu Cemerlang 2020 yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Pustaka Sibu, baru-baru ini.

Saadiah membawa pulang hadiah RM5,000 berserta piala dan sijil penghargaan.

Mengulas mengenai kerjayanya itu, Saadiah berkata, bagi memajukan masyarakat pustakawan harus bergerak dari peringkat bawah untuk membangunkan masyarakat berilmu dan menjadikan minat membaca sebagai amalan utama dalam kehidupan.

“Bangsa yang membaca ialah bangsa yang berjaya,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Kegembiraan Saadiah turut berganda, apabila Perpustakaan Desa Kampung Hulu Meludam yang dikendalikannya juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perpustakaan Awam Ketua Menteri Sarawak 2020 dengan membawa pulang hadiah RM20,000, piala pusingan dan sijil penghargaan.

“Saya bersyukur dengan anugerah ini kerana kami di Maludam memiliki komuniti yang peka dengan ilmu.

“Justeru, kita memohon kepada semua penduduk khasnya di Maludam untuk terus menghayati proses pembelajaran sepanjang hayat ini.

“Seterusnya memartabatkan limu pengetahuan termasuk menjadikan perpustakaan itu sebuah univerisiti kehidupan,” katanya lagi.

Menurut Saadiah, sejak perpustakaan tersebut beroperasi, pelbagai aktiviti dilakukan secara mingguan dan melibatkan komuniti.

“Antara program utama yang diadakan ialah program kelas dewasa iaitu kelas membaca yang memberi peluang kepada lebih 50 orang penduduk dewasa menimba ilmu pengetahuan,” ujarnya sambil memberitahu ia mendapat sambutan hangat.

Memandangkan ramai penduduk menyertai kelas tersebut, katanya, kelas terpaksa kini diadakan dua kali dalam seminggu.

“Kita turut menggalakkan komuniti di Maludam untuk menjadi sukarelawan perpustakaan dan menjadikan perpustakaan ini sebagai pusat aktiviti komuniti, khasnya buat rukun tetangga, JKKK dan sebagainya,” jelasnya.

Terdahulu, Anugerah Perpustakaan Sebagai Rakan Strategik diberikan kepada Perpustakaan Awam Mukah.

Manakala Anugerah Perpustakaan Pusat Inovasi diberikan kepada Perpustakaan Awam Sibu Jaya.

Anugerah Perpustakaan Pusat Komuniti dianugerahkan Perpustakaan Awam Bintulu dan Anugerah Perpustakaan Aset Penting Masyarakat diberikan kepada Perpustakaan Awam Sarikei.