KANOWIT: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjangkakan sektor pertanian negeri itu berpotensi untuk berkembang kukuh pada masa depan, khususnya susulan peningkatan permintaan daripada Singapura terhadap produk makanan dari negeri tersebut.

Katanya minggu lepas, Sarawak mengeksport paku midin atau nama santifiknya Stenochlaena palustris, sejenis tumbuhan paku pakis yang menjadi makanan popular dalam kalangan penduduk negeri itu.

“Saya tidak menyangka midin boleh dieksport memandangkan daunnya akan bertukar hitam hanya dalam tempoh sehari (justeru tidak boleh dijual),” katanya ketika merasmikan Pejabat Pertanian Nanga Machan, dekat sini semalam.

Jelasnya, sayur paku midin itu telah dihantar ke Singapura menerusi penerbangan dan dipastikan dalam keadaan segar melalui kaedah tertentu yang merupakan sebahagian daripada usaha pemodenan pertanian yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Abang Johari berkata bulan lepas, Sarawak mengeksport ikan patin dan tilapia ke Singapura selain khinzir hidup yang bernilai RM70 juta tahun ini.

“Ini bermakna kita mempunyai masa depan yang cerah dalam sektor pengeluaran makanan. Kita dikurniakan dengan iklim yang sesuai, cuma kita perlu ubah cara kita bertani,” katanya.

Bagi memodenkan sektor pertanian di Sarawak, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan besar berjumlah RM797 juta untuk tahun ini, iaitu pertama kali dalam sejarah negeri.

Menerusi peruntukan besar itu, kerajaan Sarawak berharap untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada keluaran dalam negara kasar negeri, khususnya oleh industri pengeluaran makanan, katanya.