KUCHING: Darurat boleh diisytiharkan di negeri yang terjejas sahaja dan tidak semestinya di seluruh negara, kata Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, sekiranya keadaan darurat berlaku, ia boleh dikenakan hanya di Semenanjung atau Sabah sahaja apabila berkaitan dengan peningkatan kes pandemik Covid-19.

“Ini kerana sejak kemerdekaan, berlakunya darurat dikenakan di Kelantan sahaja dan Sarawak semasa jerebu, malah pada tahun 1969, darurat yang diisytiharkan di tempat-tempat tertentu bukannya seluruh Malaysia.

“Oleh itu, apabila keadaan darurat dikenakan, ada pasukan yang diketuai oleh jawatankuasa untuk menguruskannya,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis menandatangi MoU antara SEDC Energy Sdn Bhd dengan Sumitomo Corporation dan Eneos di sini semalam.

Beliau diminta mengulas desas-desus Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk pengisytiharan darurat yang kini masih tanda tanya tujuannya.

Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menambah, darurat hanya boleh diisytiharkan apabila berlakunya ancaman terhadap keselamatan negara dan bencana besar.

“Saya tidak yakin sama ada pandemik Covid-19 yang kita hadapi sekarang boleh diiktiraf hingga ke tahap darurat tetapi bergantung kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengemukakan alasan kukuh.

“Bagaimanapun, saya berharap darurat Covid-19 tidak dikenakan di Sarawak kerana kes positif di negeri ini hanya satu angka dan masih terkawal,” jelasnya.

Katanya, jika darurat diisytiharkan di seluruh negara, Dun dan Parlimen digantung sama seperti yang berlaku pada 1969.

“Selepas perintah darurat diangkat, barulah Kabinet sama ada peringkat negeri dan Persekutuan dapat disambung semula, namun saya berharap ia hanya spekulasi semata-mata.

“Secara peribadi, saya melihat darurat bersyarat boleh dikenakan ke atas perkara tertentu kerana ia membataskan aktiviti harian rakyat,” ujarnya.

Karim yang juga Adun Asajaya menolak sebarang tindakan darurat jika ia berkaitan dengan politik kerana kerajaan sedia ada perlu mempunyai pandangan terbuka.

“Sekiranya keadaan darurat dilakukan untuk mengatasi situasi politik, saya rasa itu tidak seharusnya berlaku kerana politik tidak boleh ditangani dengan cara itu.

“Kita tidak boleh menghentikan pembangkang dan harus mempunyai pandangan terbuka.

“Jika kerana takut dengan undi tidak percaya, saya rasa itu bukan salah satu alasan untuk darurat harus diisytiharkan,” katanya.