KUCHING: Kerajaan Sarawak melanjutkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 4.0 sehingga Disember tahun ini dengan tujuh pendekatan sebagai usaha mengurangkan beban rakyat, susulan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tujuh pendekatan itu melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM104.84 juta.

“Enam bulan lalu, Kerajaan GPS melaksanakan BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0 yang berjumlah RM2.55 bilion serta memberi manfaat kepada kira-kira 3.08 juta golongan seperti isi rumah B40, petugas barisan hadapan, sektor pengangkutan, sektor pelancongan dan sektor perniagaan,” katanya pada sidang media BKSS 4.0, di Bilik Mesyuarat Utama Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.

Beliau berkata, tujuh pendekatan di bawah BKSS 4.0 itu ialah diskaun bil elektrik, diskaun bil air, diskaun 50 peratus sewaan kediaman HDC, bantuan RM500 secara sekali sahaja kepada pemandu e-hailing dan tenaga pengajar memandu.

Menurutnya, ia juga termasuk diskaun 50 peratus untuk sewaan tapak pasar tamu dan gerai, pengecualian yuran permit dan lesen serta pengecualian sewa kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam sektor operasi yang premisnya dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau agensi berkanun.

“Diskaun bil elektrik akan memberi manfaat kepada pengguna domestik, komersial serta industri dan akan terus diberikan diskaun sebanyak lima peratus hingga 25 peratus dalam bil elektrik bulanan dari Oktober hingga Disember 2020.

“Diskaun ini memberi manfaat kepada 686,847 pengguna di seluruh Sarawak dengan kos kumulatif diskaun berjumlah RM83.4 juta yang ditanggung oleh Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Selain itu, katanya untuk diskaun bil air akan memberikan manfaat kepada pengguna domestik, komersial dan industri akan terus diberikan diskaun sebanyak lima peratus hingga 25 peratus dalam bil elektrik bulanan dari Oktober hingga Disember 2020.

“Diskaun khas secara sekali sahaja ini akan memberi manfaat kepada 568,247 pengguna di seluruh negeri dengan kumulatif kos diskaun berjumlah RM12.6 juta dan diskaun khas sekali bayaran ditanggung oleh Kerajaan Sarawak,” jelasnya.

Beliau memberitahu, diskaun sewaan 50 peratus untuk skim sewaan rumah HDC dilanjutkan tiga bulan lagi dari Oktober hingga Disember 2020 dan ia dijangka memberi manfaat lebih daripada 3,200 penyewa rumah HDC di seluruh Sarawak.

“Pada Julai 2020, Kerajaan Sarawak telah membantu pemain sektor pengangkutan yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19 seperti pemandu teksi, pengendali bas sekolah dan van, pengendali van berlesen dan penambang di dalam negeri.

“Kini, tanpa meninggalkan pemandu e-hailing, Kabinet saya telah memutuskan untuk memberikan bantuan yang sama kepada 2,396 pemandu e-hailing dan 791 tenaga pengajar memandu di negeri ini dengan bayaran sekali sahaja RM500 dan Kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM1.59 juta untuk bantuan ini,” jelasnya.