KUCHING: Kerajaan Sarawak menubuhkan satu jawatankuasa untuk melihat secara terperinci isu kekurangan tenaga kerja asing dalam sektor pembinaan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) merangkap Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

“Kita kekurangan 5,600 pekerja asing yang merupakan tenaga kerja mahir dalam sektor pembinaan di Sarawak.

“Kini kita sedang mengkaji semula permohonan untuk mendapatkan semula pekerja asing di bawah jawatankuasa berkenaan,” katanya pada sidang media Bantuan Khas Sarawakku Sayang 4.0 (BKSS 4.0) di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Tambah Abang Johari, sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pekerja asing pulang ke negara asal masing-masing namun tidak dapat masuk semula ke Sarawak susulan langkah ketat yang diambil oleh Kerajaan Negeri sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

“Oleh kerana mereka tidak dapat kembali semula ke Sarawak, segelintir daripadanya menggunakan jalan tikus.

“Dengan kekurangan 5,600 pekerja asing, bermakna wujudnya peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” tegasnya.

Katanya lagi, ekonomi Sarawak kini dalam fasa pemulihan meskipun ia tidak 100 peratus, terutamanya sektor pembinaan projek mega.

“Sehubungan itu, kita boleh mempertimbang dua cadangan iaitu mengambil semula rakyat tempatan yang hilang pekerjaan dan melatih mereka dalam bidang pembinaan serta mengguna pakai teknologi robotik.

“Kerajaan Sarawak tidak berkira untuk melabur dalam melatih tenaga kerja mahir dan penggunaan robotik sebagai usaha membantu sektor pembinaan di negeri ini,” ujarnya.