MIRI: Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak menemui sebuah rumah yang menyembunyikan rokok dan minuman keras tidak lulus cukai Kastam bernilai lebih RM2.7 juta di Desa Pujut 2 Permyjaya, semalam.

Operasi serbuan sekitar jam 10.30 pagi itu melibatkan sepasukan polis dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak dan Batalion 12 PGA.

Komander Briged PGA Sarawak SAC Mancha Ata berkata, dua lelaki masing-masing mengaku sebagai penjaga stor dan pekerja berjaya ditahan ketika serbuan di rumah terbabit.

“Sebanyak 10,590 karton rokok putih, 416 karton rokok kretek, 1,479 kotak bir berbentuk tin dan botol pelbagai jenama, dan 249 kotak minuman keras pelbagai jenama ditemui di dalam rumah dan lori jenis Super Delta di hadapan rumah.

“Dianggarkan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai berjumlah RM2,702,580.00 merangkumi rokok sebanyak RM2,152,660.00, bir dan minuman keras sebanyak RM479,920.00 serta sebuah kenderaan bernilai RM70,000,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk tindakan lanjut.

Mancha berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Terdahulu katanya, Briged PGA Sarawak mencatatkan kejayaan bernilai RM24,498,413.14 hasil 72 kes yang melibatkan tangkapan seramai 165 orang(109 warga tempatan dan 56 pendatang asing tanpa izin) sejak awal tahun hingga 23 Oktober 2020.