KUCHING: Kerajaan GPS tidak gila kuasa untuk mengadakan Pilihan raya Negeri Ke-12 (PRN12) ketika pandemik Covid-19 melanda negara, tetapi perkara yang lebih penting ialah memperoleh mandat daripada rakyat untuk mentadbir Sarawak selepas tempoh Dun berakhir pada April 2021.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, untuk mengadakan PRN-12, Kerajaan GPS akan mengambil kira nasihat daripada pakar terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi pandemik Covid-19.

“Kita sedang mempertimbang kedua-dua faktor iaitu Covid-19 dan mandat daripada rakyat.

“Jika tiada mandat, ia agak sukar kerana tiada pentadbir negeri dan sebab itu, kita perlu mandat daripada rakyat,” katanya pada sidang media BKSS 4.0 di sini semalam.

Tegas Abang Johari, mandat daripada rakyat untuk mentadbir Sarawak diperlukan bukan sahaja mengendalikan situasi Covid-19, malah ekonomi secara keseluruhannya.

“Kita bimbang mengenai kesihatan awam namun pada masa yang sama, kita tidak mampu mengendalikan Covid19 jika tiada mandat.

“Buat masa ini saya mempunyai mandat dan saya boleh membuat keputusan, tetapi jika saya tidak mempunyai mandat, saya tidak dapat membuat sebarang keputusan,” jelasnya.

Tambahnya, ia situasi yang sukar tetapi Kerajaan GPS akan mempertimbang setiap faktor sebelum membuat keputusan.

Bagaimanapun, katanya, Sarawak perlu mengadakan PRN-12 tetapi persoalan sama ada pilihan raya dijalankan atau sebaliknya adalah terpulang dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jika pilihan raya dijalankan, kita serahkannya kepada SPR untuk menentukan SOP dan saya tidak mahu situasi semasa di Sabah berlaku di Sarawak kerana ia adalah dua perkara berbeza

“Ini kerana kesihatan orang awam amat penting buat masa ini,” ujarnya. Abang Johari yang juga Pengerusi GPS memberitahu, New Zealand, Singapura, Korea Selatan dan Myanmar sedang mengadakan pilihan raya meskipun berdepan dengan Covid-19.

“Jadi, mandat kita tamat pada April 2021 tetapi secara automatik terbubar dalam tempoh 120 hari pada Jun,” katanya.