KUCHING: Sebuah rumah pekerja berstruktur tidak kekal hampir musnah keseluruhan akibat kejadian kebakaran di Kilang Ceramica Indah Jalan Khung Phin, hari ini.

Kejadian menyaksikan bangunan berukuran 100×30 kaki itu terbakar di seluruh bahagian dan dianggarkan musnah 90 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan mengesahkan pihaknya menerima panggilan laporan kejadian sekitar jam 2.57 petang.

Menurutnya, sepasukan Bomba dan Penyelamat(BBP) Batu Lintang telah digerakkan ke lokasi kejadian sebelum menurunkan BBP Tabuan Jaya untuk operasi bantuan pemadaman kebakaran.

“Setibanya di lokasi, pemadaman dilakukan pada jarak 100 kaki dari jentera bomba dengan menggunakan air daripada tangki jentera.

“Kebakaran dalam keadaan terkawal pada jam 3.28 petang namun kerja-kerja pemadaman termasuk mengeluarkan lima tong gas LPG masih diteruskan,” jelasnya.

Kenyataan itu menambah, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku akibat kejadian.

Katanya, menurut saksi kejadian kebakaran berlaku ketika penghuni tidak berada di rumah.

Ujarnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.13 petang.

PADAM… Pasukan bomba memadam kebakaran di lokasi kejadian