SIBU: Tiga individu lelaki dipercayai sedang berlumba sambil mengangkat tayar hadapan motosikal atau wheelie dicekup di Jalan Bujang Suntong, semalam.

Aksi menunggang secara berbahaya mereka dikesan hasil risikan Op Samseng Jalanan yang dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Sibu, Kuching, Daro dan Kapit.

Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, ketiga-tiga suspek pada awalnya diekori pihak operasi sebelum ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Trafik Sungai Merah Sibu untuk tindakan lanjut.

“Kesemua suspek tersebut merupakan warga tempatan berusia lingkungan 18 dan 23 tahun.

“Hasil pemeriksaan turut mengeluarkan enam keping saman atas pelbagai kesalahan trafik,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, kesemua motosikal tersebut turut ditahan di bawah Seksyen 61 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, operasi yang diadakan pada jam 10 malam hingga 4.30 pagi melibatkan seramai lima pegawai dan tujuh anggota.