KUCHING: Masyarakat Sarawak perlu bijak mengambil peluang menerusi siaran yang ditonton di stesen TVS kerana ia berkongsi pelbagai segmen bermanfaat dalam kehidupan masa kini.

Hal ini jelas kerana program yang disiarkan banyak mengandungi maklumat berfaedah termasuk program Visi yang disiarkan di stesen tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif TVS Suhaimi Sulaiman berkata, rancangan Visi merupakan satu platform yang dapat memberi inspirasi kepada usahawan untuk beraksi cemerlang dalam perniagaan dan pengurusan yang diusahakan.

“Program ini akan menemui penonton setiap hari Sabtu tepat jam 11.15 pagi dengan menampilkan sesi temu ramah bersama-sama Dr Hamrila Abdul Latip – yang merupakan pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Unimas.

“Selain berkongsi isu kepimpinan pemikiran yang berkaitan keadaan ekonomi semasa negara, ia juga secara tidak langsung menambah kredibiliti TVS dengan kemunculan Dr Harmila,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan wartawan Suara Sarawak di Pejabat TVS, baru-baru ini.

Antara topik yang dibincangkan dalam segmen ini termasuk kepentingan pembelajaran sepanjang hayat bagi pemimpin pelbagai organisasi serta cabaran yang dihadapi dalam menguruskan perniagaan yang dijalankan.

Terdahulu, Dr Hamrila mengajar bidang pengurusan, pengembangan keusahawan dan pemasaran di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan di Unimas.