KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Sarawak menahan sebuah bot nelayan tempatan(BNT) kelas C2 pada jarak 4.5 batu nautika dari Tanjung Po, semalam.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Zin Azman Md Yunus berkata, bot terbabit ditangkap oleh aset Maritim Sarawak ketika Op Khas Kuda Laut sekitar jam 1 tengah hari.

Menurutnya, seramai 14 kru termasuk tekong masing-masing berusia lingkungan 20 hingga 59 tahun berada di dalam bot berkenaan.

“10 daripada kru merupakan warga Indonesia yang mempunyai dokumen pengenalan yang sah.

“Pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati dokumen kebenaran menggunakan kru asing telah tamat tempoh,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, turut ditemui peralatan ikan dan hasil tangkapan seberat 500 kilogram ikan pelbagai jenis.

Susulan itu katanya, kesemua kru termasuk kapal dibawa ke jeti APMM Kompleks Maritim Tun Abg Salehuddin (KOMTAS), Muara Tebas untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan kerana melanggar syarat sah lesen.

Azman dalam pada itu turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan masalah maritim menerusi Pusat Operasi Maritim Malaysia Sarawak di talian 082-432544 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.