KOTA SAMARAHAN: Seluruh bandar raya Kuching akan dilengkapkan dengan laluan jalan raya berkembar sebagai usaha untuk memudahkan operasi para pelabur.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bandar raya Kuching adalah nadi kepada aktiviti perniagaan yang menyaksikan para pelabur menempatkan operasi mereka di Taman Perindustrian Sama Jaya.

“Syarikat Taiyo Yuden merancang untuk mengembangkan operasi di Sama Jaya.

“Malah 5,000 pekerja lagi diperlukan dan ia sekali gus boleh menyebabkan kesesakan jalan raya di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek naik taraf lima bulatan sepanjang Jalan Kuching-Samarahan Expressway di sini semalam.

Menurut Abang Johari lagi, apabila kemudahan jalan raya dirancang dengan baik, mobiliti penduduk ke kawasan bandar agak berkurangan.

“Bagi golongan yang tidak mampu membeli rumah di kawasan Kuching, mereka boleh turun kerja dari rumah atau kampung masing-masing kerana akses jalan raya lebih mudah.

“Keadaan ini membolehkan kita membangunkan bandar raya Kuching dengan teliti, malah tidak mustahil wujudnya perkampungan pesisir dalam tempoh 10 tahun akan datang,” jelasnya.

Abang Johari berkata, terdapat satu lagi jalan Kuching-Samarahan Expressway yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Jalan Kuching-Samarahan Expressway sedia ada akan kita naik taraf dengan lampu isyarat pintar di lima bulatan.

“Kemudian, kita akan menghubungkan Samarahan dengan kawasan Petra Jaya melalui jambatan merentasi Sungai Sarawak berhampiran Sejingkat,” ujarnya.

Katanya lagi, dari Sejingkat, jalan raya itu dihubungkan ke Jalan Sultan Tengah dan seterusnya ke Santubong.

Tambahnya, dari Santubong, ia disambungkan dengan Lebuh Raya Pan Borneo untuk akses ke Lundu dan Sematan yang merupakan pintu masuk kepada industri pelancongan.

“Maka, penduduk Samarahan yang ingin ke kawasan Petra Jaya, mereka tidak perlu melalui bandar raya Kuching.

“Di bandar raya Kuching pula, kita ingin menaik taraf jalan raya menjadi berkembar di Bau yang merupakan industri,” katanya.

Ujarnya, dalam tempoh tiga tahun lagi, rangkaian jalan pesisir Sarawak akan lengkap sepenuhnya.