BAU: Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak menahan lapan individu disyaki terlibat sebagai ejen judi dalam talian aktif di sekitar daerah Bau, semalam.

Kesemua suspek termasuk seorang lelaki warga Indonesia ditahan hasil operasi risikan polis di beberapa lokasi premis berhampiran Senggi Poak Land District, Bau Town District, Siniawan dan Tondong pada jam 2 hingga 2.45 petang.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek terdiri daripada lima wanita dan tiga lelaki masing-masing berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun.

“Kesemua suspek ditahan hasil enam operasi tangkapan yang berbeza.

“Hasil serbuan keseluruhan berjaya merampas wang tunai sebanyak RM2,053, lapan telefon pintar disyaki digunakan sebagai kiosk judi dalam talian.

“Turut ditemui, barangan kes lain berupa keratan kertas tercatit angka-angka ID judi dalam talian dan keratan kertas nombor 4D(loteri awam tanpa lesen),” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, hasil pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Ujarnya, kes disiasat di bawah 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka(ARJT) 1953, 4A(a) ARJT 1953 dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

TAHAN… suspek disyaki menjadi ejen dan bekerja sebagai penjaga stor premis bagi mengaburi mata penguat kuasa.