KOTA SAMARAHAN: Kesesakan lalu lintas di sepanjang lebuh raya Kuching-Samarahan dijangka dapat dikurangkan apabila lima bulatan di lebuh raya itu dinaik taraf dalam tempoh dua tahun ini.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata apabila kerja-kerja menaik taraf itu selesai, ia juga akan menyediakan laluan selamat dan alternatif untuk keperluan semasa dan masa hadapan bagi pengguna jalan raya.

“Terdapat keperluan untuk kerja menaik taraf khususnya apabila Jambatan Batang Samarahan dan jalan pesisir (jalan raya kedua melintasi kawasan pesisir Sarawak sehingga ke utara negeri), telah siap,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara pecah tanah untuk kerja naik taraf itu di sini semalam.

Beliau berkata projek bernilai RM47,355,800.20 itu bermula pada 15 Okt lepas dan dijangka siap pada 14 Jan 2022.

“Terdapat juga rancangan untuk membina satu lagi lebuh raya Samarahan-Kuching untuk menghubungkan Sejingkat dan Santubong dengan jalan raya berkembar menuju ke kawasan pelancongan, selain satu lagi jalan menghubungkan jalan persekutuan ke Lundu dan Samarahan,” katanya. — BERNAMA