KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak komited menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di sini dengan menaik taraf lima bulatan di Lebuh Raya Kuching-Samarahan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ekoran daripada perkara tersebut lima bulatan berkenaan akan dinaik taraf menjadi sistem lampu isyarat pintar.

“Dua tahun yang lalu, saya menerima aduan tentang kesesakan jalan raya di Kota Samarahan dan ia mempengaruhi perjalanan pensyarah universiti di sini dan juga mereka yang bekerja di kawasan Perindustrian Sama Jaya.

“Jawapan saya ketika itu ialah menaik taraf kawasan bulatan dengan membina lampu isyarat pintar dan hari ini saya menunaikan janji saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Lima Bulatan Sepanjang Jalan Kuching-Samarahan di sini semalam.

Tambahnya, Kota Samarahan telah berkembang dengan cepat jika dibandingkan dengan 25 tahun yang lalu.

“Dahulu, Kota Samarahan tidak seperti apa yang kita lihat kini, ketika Tun Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri beliau telah membuka kawasan ini dan ia berubah menjadi ‘kota ilmu’ dengan pembangunan yang sangat pesat.

“Bagi mereka yang menganggap tidak berlaku pembangunan di Sarawak, mereka perlu membuka mata melihat apa yang berlaku kini hingga kita sebagai generasi kedua perlu merancang dengan pembangunan sebelum ini,” ujarnya.

Abang Johari mendedahkan, populasi penduduk di Kuching dan Samarahan kini kira-kira 1.2 juta dan terdapat keperluan untuk meningkatkan kemudahan kepada rakyat.

“Kami akan membina jalan alternatif dari Lebuh Raya Kuching-Samarahan ke kawasan berhampiran dengan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan membina jambatan yang melintasi Sungai Sarawak.

“Ini bermakna masyarakat akan dapat pergi ke Petra Jaya tanpa perlu melalui bandar Kuching,” katanya.

Sebagai rekod, kos menaik taraf lima bulatan tersebut memakan belanja sekitar RM47 juta yang akan dilaksanakan dalam tempoh 15 bulan bermula dari 15 Oktober lalu sehingga Januari 2022.

Hadir sama Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Adun Muara Tuang Datuk Idris Buang, Adun Stakan Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud, Adun Sadong Jaya Aidel Lariwoo, Adun Simunjan Awla Dris dan serta wakil yang lain.