BINTULU: Malam tadi berlangsung showcase bagi mempertontonkan kesemua sepuluh finalis aktiviti pencarian bakat-bakat baru FIKON Sarawak 2020 yang berlangsung meriah dan penuh warna-warni di Hotel Golden Bay, di sini.

Kesemua finalis terbabit merupakan kalangan peserta terbaik yang dipilih untuk beraksi di pentas final pada malam ini (Ahad, 25 Oktober) selepas mengharungi sesi uji bakat pada 8 Mac , separuh akhir pada 19 September, suku akhir pada 26 September lalu.

Sepuluh finalis terbabit terdiri daripada Tang Chin Ting, Mohd Sharmizie Azrin Azman,Federickson Lampun,Noorainina Safiah Ahmad Zaidi,Mohd Firdaus Ali Khan, Harish Abdullah,Norziana Jamin, Chris Aidan John Atuh,Mohd Daniel Manshor dan Rovelyn Ivy Yahya.

Bertemakan Irama Dangdut, malam showcase FIKON Sarawak 2020 menyaksikan kalangan penonton disajikan dengan lagu berirama Malaysia dan kemelayuan oleh barisan finalis yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya,anutan kepercayaan dan etnik.

Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim turut meluangkan masa menghadiri malam showcase tersebut.

Sementara itu, pengerusi penyelaras program FIKON Sarawak 2020 Tuah Jili yakin penganjuran aktiviti Pencarian Bakat- Bakat Baru FIKON Sarawak 2020 mampu menghasilkan produk seni yang bermutu dan berkualiti khususnya dalam bidang nyanyian, tarian dan sebagainya.

Keyakinan tersebut berdasarkan pemerhatian beliau semasa mengetuai barisan panel penilai untuk menghakimi serta menilai peserta sepanjang sesi uji bakat, peringkat separuh akhir dan suku akhir baru- baru ini yang beliau sifatkan rata-rata finalis memiliki keistimewaan dan keunikan tersendiri, malah ada yang berkebolehan mengawal suara, menguasai pentas selain mampu berinteraksi dengan penonton.

Sepertimana penganjuran pada tahun-tahun sebelumnya, bagi memastikan kesemua finalis bersedia dari segi mental dan fizikal, mereka diwajibkan menghadiri kelas bimbingan merangkumi latihan vokal dan persembahan pentas secara visual selain tip persediaan sebagai seorang penyanyi dan penghibur, keyakinan diri dan personaliti yang dibimbing sendiri oleh Tuah yang juga merupakan Pegawai Kebudayaan Majlis Seni Sarawak.

Aktiviti pencarian bakat baru FIKON Sarawak 2020 ini merupakan aktiviti tahunan Majlis Seni Sarawak sejak 2012 yang antara lain bertujuan mencungkil bakat baru dalam bidang kesenian serta memberi pendedahan kepada penggiat seni di bahagian Bintulu, amnya dan Bumi Kenyalang, khususnya untuk lebih berkarya.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk minat kepada penggiat seni khususnya golongan belia yang baru berkecimpung untuk terus aktif di samping memperkenalkan kementerian berkenaan khasnya Bahagian Kebudayaan kepada masyarakat sekali gus sebagai platform untuk memupuk serta mengeratkan silaturahim di kalangan masyarakat dan agensi kerajaan dan swasta berkaitan.