KUCHING: SMK Wira Penrissen diarah tutup bermula esok (26 Oktober) selama tujuh hari ekoran seorang pelajarnya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, penutupan dibuat bagi membolehkan kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan.

“Jabatan Kesihatan Negeri telah mengesahkan seorang pelajar SMK Wira Penrissen positif Covid-19.

“Justeru, sekolah diarah tutup selama tujuh hari bermula 26 Oktober sehingga 1 November depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, pengetua harus memastikan para guru bekerja dari rumah dan melaksanakan pengajaran serta pembelajaran di rumah.

Katanya lagi, ia bagaimanapun berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi pelajar sepanjang tempoh penutupan tersebut.

Terdahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kenyataan memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan bahawa mana-mana sekolah di seluruh negara yang mempunyai kes positif perlu ditutup untuk tempoh tujuh hari tanpa menunggu analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).