KUCHING: Muzium dan warisan perlu dipelihara kerana ia menunjukkan sejarah dan keunikan yang terdapat di Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Jelasnya, sejarah dan warisan berhubung rapat dengan kebudayaan sesuatu kaum dan bangsa.

“Tanpa sejarah maka tiada warisan dan budaya sesuatu tempat itu.

“Ini kerana bangsa bertamadun mempunyai sejarah mereka sendiri,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Jabatan Muzium Sarawak (JMS) di Hotel Waterfront, semalam.

Tambah beliau, muzium merupakan tempat untuk masyarakat melihat serta mengingati sejarah tersebut.

Abdul Karim melahirkan perasaan tidak sabarnya mengenai pembukaan Muzium Sarawak baharu yang sepatutnya dirasmikan pada November ini.

Namun begitu, perasmian muzium baharu tersebut terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19 dan dijangka dirasmikan bulan April tahun hadapan.

“Kita bukan sahaja membangunkan muzium baharu malah seluruh muzium dan tugu sedia ada turut akan dibaik pulih dan dibangunkan.

“Setakat sekarang, terdapat muzium dan yang tugu sedang dibaik pulih.

Manakala yang lain pula masih dalam perbincangan,” jelas Karim.

Abdul Karim mengingatkan kakitangan muzium agar tidak bekerja berseorangan dan sentiasa bekerjasama dalam satu kumpulan supaya dapat menyumbang kepada pembangunan organisasi seperti muzium.

Semasa majlis tersebut, dua pegawai bakal bersara menerima sijil penghargaan dan tujuh kakitangan JMS turut menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang.