KUCHING: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) digalakkan untuk lebih aktif di media sosial untuk menyahut seruan “sedia berperang”.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, platform media sosial dijadikan wadah utama dalam penyebaran maklumat dan propaganda sehingga mampu mempengaruhi pemikiran orang ramai.

“Peranan media sosial semakin penting ketika negara berdepan penularan Covid-19 ketika perhimpunan dan perjumpaan ramai tidak lagi digalakkan.

“Selain itu, jumlah kehadiran juga dihadkan dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan wabak tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini semalam.

Tambahnya, semua ahli juga perlu cepat menangkis setiap serangan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PBB di media sosial dan tidak membiarkan perkara tersebut merebak.

“Kita semua harus ingat, perang persepsi di media sosial telah menyebabkan kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Saya juga ingin mengajak semua wakil rakyat dan pemimpin GPS di semua peringkat supaya secara peribadi lebih aktif di media sosial untuk menjawab apa sahaja isu dibangkitkan.